Penunjuk perasaan bakar Parlimen Libya

Astro Awani
Julai 3, 2022 00:53 MYT
Penunjuk perasaan menyerbu bangunan Parlimen Libya di Tobruk dan membakar sebahagian bangunan itu. -Reuters
TOBRUK: Penunjuk perasaan menyerbu bangunan Parlimen Libya di Tobruk dan membakar sebahagian bangunan itu.
Tindakan dilakukan sebagai membantah tindakan kerajaan memotong bekalan elektrik dan menyebabkan kenaikan harga barang akibat kebuntuan politik.
Penunjuk perasaan turut menggesa kerajaan mengadakan pilihan raya segera bagi memulihkan keadaan.
Pergolakan itu berlaku sehari selepas rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.
Menurut ketua kerajaan perpaduan sementara, Abdul Hamid Dbeibah menjelaskan semua institusi negara perlu diubah.
Pemilihan presiden dan Parlimen sebelum ini dijadual berlangsung pada Disember tahun lalu, menyusuli proses damai diterajui PBB selepas keganasan besar pada 2020.
Namun, pemilihan tidak dapat diadakan kerana wujud perbezaan pendapat dalam kalangan beberapa calon dan pertikaian berhubung keabsahan pengundian.
Libya terjerumus dalam kancah huru-hara sejak pemberontakan yang disokong oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 yang menyaksikan penggulingan pemerintahnya, Muammar Gaddafi.
Sejak beberapa bulan lalu, dua pihak cuba meraih kuasa di Libya termasuk satu yang berpangkalan di Tripoli, diterajui Dbeibah.
Satu lagi diketuai bekas Menteri Dalam Negeri, Fathi Bashagha yang dilantik oleh Parlimen serta disokong pemimpin di wilayah timur, Khalifa Haftar.
#Parlimen Libya dibakar #Abdul Hamid Dbeibah #bantah kenaikan harga barang #Muammar Gaddafi