Penunjuk perasaan ambil alih pejabat Perdana Menteri Sri Lanka
Bernama
Julai 13, 2022 22:07 MYT
Julai 13, 2022 22:07 MYT
NEW DELHI: Penunjuk perasaan menyerbu pejabat perdana menteri di Colombo pada Rabu walaupun sejumlah besar pasukan keselamatan telah ditempatkan di pejabat itu ketika krisis politik dan ekonomi Sri Lanka semakin meruncing pada Rabu.
Speaker Parlimen Mahinda Yapa Abeywardena berkata Presiden Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri bersama isterinya menaiki pesawat tentera pada awal pagi, melantik Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai pemangku presiden.
Pejabat Wickremesinghe mengumumkan perintah berkurung di wilayah Colombo dan darurat di seluruh Sri Lanka untuk mengawal keadaan di tengah-tengah krisis ekonomi yang berlarutan.
Ketua pembangkang Sajith Premadasa mengkritik pelantikan Wickremesinghe sebagai pemangku presiden, menyifatkan beliau kurang dari segi kekuatan politik.
Wickremesinghe, 73, Ahli Parlimen tunggal dari Parti Kebangsaan Bersatu (UNP) yang mempunyai 225 kerusi di Parlimen, dilantik sebagai perdana menteri oleh Gotabaya pada Mei.
"Sekarang orang yang sama dilantik sebagai pemangku presiden. Ini adalah gaya demokrasi Rajapaksa. Sungguh lucu. Ia satu tragedi," kata Premadasa, dari parti Samagi Jana Balawegaya yang mempunyai 54 Ahli Parlimen.
Colombo menyaksikan penunjuk perasaan terus mengadakan bantahan meskipun perintah berkurung dilaksanakan.
Rakaman video menunjukkan penunjuk perasaan mengambil alih pejabat perdana menteri.
Speaker parlimen mengadakan mesyuarat bersama pemimpin daripada pelbagai parti pada petang Rabu untuk membincangkan krisis politik itu, lapor media Sri Lanka.
-- BERNAMA
#prores Sri Lanka
#Sri Lanka darurat
#Penunjuk perasaan
#Sri Lanka
#pejabat perdana menteri
#Colombo
#Gotabaya Rajapaksa
#Ranil Wickremesinghe
#Mahinda Yapa Abeywardena