Penumpang wanita kehilangan anjing di lapangan terbang tersibuk dunia
Agensi
Ogos 28, 2023 08:45 MYT
Ogos 28, 2023 08:45 MYT
SESUATU yang malang bagi sesiapa sahaja yang memiliki haiwan peliharaan dan kehilangannya semasa dalam perjalanan ke sesuatu destinasi.
Itulah mimpi buruk dilalui Paula Rodriguez yang kehilangan anjing peliharaannya, Maia ketika menaiki pesawat Delta, di lapangan terbang yang antara tersibuk di dunia iaitu Lapangan Terbang Atlanta.
Binatang kesayangan Rodriguez itu didakwanya, dihilangkan oleh kakitangan lapan terbang berkenaan.
Rodriguez yang menetap di Republik Dominika sedang dalam perjalanan untuk bercuti selama dua minggu di California pada 18 Ogos lalu bersama anjingnya yang berusia enam tahun.
Maia menyertainya menaiki pesawat Delta sepanjang perjalanan termasuk ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, sebelum melanjutkan penerbangan ke San Francisco.
Bagaimanapun, sebaik tiba di Atlanta pada pukul 6.55 petang hari yang sama, Rodriguez dimaklumkan oleh pihak imigresen bahawa dia tidak mematuhi syarat visa pelancong - sehingga mereka terpaksa membatalkan perjalanannya.
Bahkan, Rodriguez juga harus pulang ke negara asal menaiki penerbangan berikutnya.
Disebabkan penerbangan seterusnya hanya ada pada keesokan hari, Rodriguez akan ditempatkan di pusat penahanan sementara - dan anjing kesayangan tidak dapat menyertainya.
"Mereka memanggil kakitangan Delta untuk mengambil Maia daripada saya," kata Rodriguez kepada CNN.
"Saya mulai bertaya di mana Maia akan menghabiskan malam dan memberitahu mereka (pihak berkuasa) Maia sangat tertekan selama penerbangan. Ketika kami tiba (di Atlanta), Maia muntah kerana tertekan dan mengalami keracunan makanan.
"Saya diberitahu jangan khuatir dan Maia akan dibawa ke pusat yang mempunyai kakitangan terlatih.
“Mereka akan memberi Maia makanan dan air serta menjaga kesihatannya. Walaupun itu bukan keinginan saya, tapi saya mengerti dan tidak mampu melakukan apa-apa,” luahnya.
Penerbangan Rodriguez kembali ke tanah air dijadualka pada pukul 10.20 pagi keesokan harinya dan kakitangan penerbangan memberitahu akan menjemputnya dari pusat penahanan iaitu satu jam 45 minit sebelum keberangkatannya, untuk menghantarnya ke balai perlepasan, di mana anjingnya akan menunggu.
"Saya meminta semua orang - saya mengatakan kepada mereka bahawa saya memerlukan waktu untuk menemukan Maia… dia sakit dan saya ingin membersihkannya dan mereka berkata, pergi ke balai perlepasan, seharusnya dia (Maia) ada di sana," cerita Rodriguez.
Penumpang lain sudah mulai naik pesawat ketika mereka tiba, namun, kelibat Maia tiada di situ.
"Kakitangan syarikat penerbangan mula sibuk membuat panggilan telefon untuk mengesan Maia. Tiba-tiba, seorang pengurus mendekati saya dan memberitahu mereka sedang mencari Maia dan seharusnya dia sudah berada di balai perlepasan, tetapi mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk mencarinya dan saya pula harus segera naik pesawat," kata Rodriguez.
"Saya mulai panik dan menjawab, 'maaf, saya tidak akan naik pesawat apabila kamu memberitahu tidak tahu di mana anjing saya berada.'"
Syarikat penerbangan kemudian memindahkan penerbangannya sejam kemudian, menuju Punta Cana, yang berjarak dua setengah jam perjalanan dari Santo Domingo.
Rodriguez dengan berlapang dada menerima perubahan penerbangannya itu dan menganggap ia hanya kesalahan kecil dan Maia akan naik penerbangan berikutnya.
Namun Maia tidak juga muncul dan Rodriguez dimaklumkan pihak imigresen dia tidak boleh lagi tinggal di Amerika Syarikat selama lebih dari 24 jam tanpa visa.
Dia harus berlepas menaiki penerbangan ke Punta Cana tanpa anjingnya. - Agensi