Penumpang tanpa pengalaman kendali pesawat selepas juruterbang tidak 'berupaya'

Astro Awani
Mei 14, 2022 00:37 MYT
Pengawal trafik udara Palm Beach International Airport, robert Morgan (kiri) bergambar bersama Darren Harrison, penumpang yang menerima arahan dari pusat trafik kawalan udara untuk mendaratkan pesawat dengan lancar. - Foto CNN Travel
KUALA LUMPUR : "Saya tidak tahu bagaimana terbangkan pesawat!"
Begitu kata-kata cemas seorang penumpang kepada petugas di pusat kawalan udara di Florida, Amerika Syarikat selepas mendapati juruterbangnya 'lumpuh' dan tidak sedarkan diri semasa menerbangkan pesawat satu enjin jenis Cessna 208.
Berkongsi detik kejadian, pengawal trafik udara di lapangan terbang antarabangsa Palm Beach, Robert Morgan berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berehat sebelum menerima panggilan kecemasan dari sebuah pesawat yang terbang dari Bahamas.
"Saya bergegas ke sana (bilik kawalan) dan suasananya sangat sibuk.
"Dan mereka berkata...'hey juruterbang pesawat ini tidak 'berupaya'. Penumpang yang sedang menerbangkan pesawat ini.
"Dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penerbangan," kongsi Morgan ketika ditemu bual agensi berita CNN pada Rabu.
Selepas mendapat tahu mengenai kejadian, Morgan mengaku agak cemas mengendalikan situasi itu meskipun beliau juga adalah merupakan jurulatih penerbangan yang sah.
Bagaimanapun katanya, penumpang iaitu Darren Harrison tenang menghadapi situasi walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman penerbangan.
"Dia tidak mempunyai pengalaman, namun biasa melihat juruterbang mengendalikan pesawat.
"Dia (Harrison) sangat tenang meskipun cemas memberitahu tidak tahu menerbangkan serta menghentikan pesawat sejurus mendarat di landasan," katanya.
Morgan dalam masa sama turut berkongsi tidak pernah mengendalikan pesawat Cessna sebelum ini.
Apa yang dilakukan oleh Morgan adalah mengeluarkan manual arahan kendalian pesawat dan memberi tunjuk ajar satu demi satu langkah untuk melancarkan usaha pendaratan pesawat terbabit.
Sebelum itu, jelasnya, perkara pertama yang beliau cuba lakukan adalah untuk mengenal pasti kedudukan pesawat bagi memudahkan bantuan keselamatan.
Beliau kemudiannya mengarahkan Morrison untuk membawa pesawat ke arah landasan lapangan terbang yang lebih besar dari lokasi pendaratan asal di lapangan terbang Palm Beach.
Selepas beberapa ketika berusaha memberikan bantuan secara manual dari pusat kawalan udara, mereka akhirnya dapat mendaratkan pesawat di landasan tanpa sebarang isu teknikal.
"Itu adalah pendaratan terbaik pernah dilihat.
"Saya seperti ingin menangis dan adrenalin saya naik ketika itu," jelasnya lagi.
Beliau tidak menyangka pesawat itu dapat dikendalikan dengan baik oleh penumpang yang tidak mempunyai langsung pengalaman berkenaan pesawat.
Berkongsi detik yang mungkin tidak akan dapat dilupakan itu, kata Morgan setiap pelusuk pejabat riuh dengan sorakan meraikan kejayaan pendaratan pesawat berkenaan.
Keadaan juruterbang asal pesawat Cessna berkenaan bagaimanapun belum diketahui seperti yang disahkan sendiri oleh Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).
Walau bagaimanapun FAA memberitahu bahawa juruterbang berkenaan menghadapi masalah kesihatan.
#Cessna 208 #pesawat #Florida #Amerika Syarikat #Robert Morgan #Darren Harrison
;