Penumpang 'mengaku' kena koronavirus, pesawat terpaksa patah balik

Astro Awani
Februari 5, 2020 08:07 MYT
Sebuah pesawat WestJet dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver di Richmond, British Columbia, Kanada, 24 Jan, 2020. REUTERS/Fail
SEBUAH kapal terbang WestJet yang membuat penerbangan dari Toronto ke Jamaica pada Isnin, terpaksa berpatah balik selepas salah seorang penumpangnya ‘mengaku’ dijangkiti koronavirus.
Tindakannya itu telah menyebabkan seramai 243 penumpang di atas pesawat Boeing 767 itu panik dan memaksa juruterbang berpatah balik dan mendarat di Florida.
Bagaimanapun, lelaki yang berasal dari Thornhill, Ontario itu kini telah diperintahkan untuk hadir ke mahkamah pada 9 Mac depan atas tindakannya itu.
Syarikat penerbangan berkenaan mengesahkan kejadian itu dengan menegaskan kesemua anak kapalnya telah menjalankan tugas sehabis baik bagi mencegah penularan penyakit berjangkit di atas pesawat.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kru kami telah mengikut semua protokol untuk mengatasi penyakit berjangkit di atas pesawat,” katanya dalam satu kenyataan.
[LAPOR LANGSUNG] Angka korban hampiri 500 di seluruh dunia
Menurutnya, lelaki terbabit kini telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Menurut jurucakap polis, saringan kesihatan telah dijalankan ke atas lelaki berusia 29 tahun itu dan dia didapati dia tidak dijangkiti koronavirus.
“Lelaki itu telah menyebabkan gangguan kepada perjalanan pesawat dan kegusaran orang awam.
“Selain daripada mengaku dijangkiti koronavirus, lelaki itu juga mendakwa dirinya pernah ke China,” kata jurucakap itu.
Salah seorang penumpang, Julie-Anne Broderick berkata pesawat hampir sampai ke Jamaica namun terpaksa berpatah balik dan membuat pendaratan.
“Kru pesawat turut memberikan lelaki itu topeng muka dan sarung tangan. Malah, dia juga diasingkan di tempat duduk bahangian belakang.
“Saya rasa kecewa apabila mengetahui ia adalah palsu. Perbuatannya itu sangat mementingkan diri dan membuatkan kami rugi waktu bercuti."
Sementara itu, stesen televisyen Kanada, Global News, melaporkan lelaki itu mengaku dia sengaja mahu memuat naik video di laman sosial supaya ia tular.
Dia yang dikenali sebagai James Potok bagaimanapun turut mengaku dia telah melakukan satu kesalahan tetapi tidak menafikan gembira dengan publisiti yang diterimanya.
"Saya memang mencari peluang untuk membuat video tular. Saya bercadang untuk memuat naik video itu di semua platform media sosial," katanya pada Selasa.
Walaupun mengaku tindakannya itu tidak wajar, katanya, dia hanya membuat pengumuman mengatakan dia baru pulang dari wilayah Hunan, tidak lebih dari itu.
"Apa yang saya buat, saya berdiri, saya kata, 'Perhatian semua. Saya baru balik dari wilayah Hunan.' Itu sahaja," katanya.
#berita palsu #coronavirus #Florida #Jamaica #James Potok #kesihatan #lelaki #Ontario #patah balik #penerbangan #pesawat #polis #Toronto #undang-undang #WestJet #YouTube
;