Penumpang kapal selam Titan mungkin keracunan karbon dioksida

Astro Awani
Jun 22, 2023 22:15 MYT
Bekalan elektrik yang terputus dalam kapal selam Titan juga akan menyebabkan kawalan gas oksigen dan karbon dioksida tidak dapat berfungsi. - Gambar REUTERS
LIMA penumpang kapal selam Titan tidak hanya berdepan dengan risiko kehabisan bekalan oksigen dan kehilangan fungsi kapal.
Bekalan elektrik yang terputus dalam kapal selam itu juga akan menyebabkan kawalan gas oksigen dan karbon dioksida tidak dapat berfungsi.
Pakar perubatan di sebuah hospital di Newfoundland, Dr Ken Ledez berkata, ketika mana bekalan oksigen semakin menurun, jumlah karbon dioksida yang dikeluarka oleh kelima-lima penumpang itu semakin meningkat, sekali gus boleh menyebabkan kematian.
Katanya, apabila gas karbon dioksida meningkat, ia akan bertukar menjadi sedatif.
Tambah beliau, gas itu kemudiannya akan menjadi seperti gas anestetik dan kesemua penumpang berkenaan akan tidur.
Jelas Dr Ledez, jika terlalu banyak karbon dioksida masuk dalam saluran darah, ia boleh menyebabkan 'hypercapnia' yang boleh membunuh jika tidak dirawat segera.
Pandangan sama turut dilontarkan oleh bekas kapten kapal selam Tentera Laut Kanada, Ryan Ramsey yang menyatakan Titan tidak mempunyai sistem membuang karbon dioksida.
Ujar beliau, selain keracunan gas karbon dioksida, mereka juga berdepan ancaman hipotermia apabila badan menjadi terlalu sejuk.
Masalah itu boleh berlaku sekiranya kapal selam tersebut berada di dasar laut, terutamanya apabila sistem Titan sudah tidak lagi berfungsi.
Tambah beliau, jika semua penumpang sudah tidak sedarkan diri, tiada apa lagi yang boleh dibuat.
Sejak Ahad lalu, pasukan penyelamat berusaha keras mencari kapal selam dan menyelamatkan lima anak kapal sebelum mereka kehabisan bekalan oksigen.
Kapal selam pelancong digelar Titan itu dilaporkan membawa lima penumpang termasuk seorang jutawan Britain dan jutawan Pakistan bersama anaknya.
Titan yang seberat 10,432 kilogram itu boleh mencapai kedalaman sehingga 4,000 meter dan mempunyai 96 jam sokongan oksigen untuk lima anak kapalnya.
Kapal selam itu hilang semasa ekspedisi dari Newfoundland membawa kumpulan pelancong meneroka bangkai Titanic di dasar laut.
#Titan #bekalan oksigen #keracunan karbon dioksida #Titanic