Penumpang jatuh selepas buka pintu pesawat
Sinar Harian
Januari 14, 2024 08:40 MYT
Januari 14, 2024 08:40 MYT
OTTAWA: Seorang penumpang Air Canada cedera selepas terjatuh kira-kira enam meter apabila dia membuka pintu pesawat baru-baru ini.
Seorang jurucakap syarikat penerbangan memberitahu Business Insider, kejadian itu berlaku dalam sebuah Boeing 777 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson Toronto.
“Penumpang masuk ke dalam pesawat seperti biasa tetapi kemudian membuka pintu kabin dan bukannya pergi ke tempat duduknya. Individu itu cedera akibat terjatuh,” katanya.
Kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang seminggu membabitkan tingkah laku luar biasa penumpang sehingga menangguhkan salah satu penerbangan syarikat penerbangan tersebut.
Pada 3 Januari lalu, satu pesawat Air Canada terpaksa dilencongkan selepas seorang penumpang berusia 16 tahun menyerang ahli keluarganya.
Penumpang dan anak kapal lain dalam penerbangan dari Toronto ke Calgary, Alberta, menahan remaja itu sebelum dibawa ke hospital. - Sinar Harian memetik agensi