Penumpang ditahan cuba tikam pramugari, buka pintu pesawat

Agensi
Mac 7, 2023 13:10 MYT
Torres didakwa atas kesalahan cuba membuka pintu kecemasan pesawat United Airlines yang ketika itu sedang dalam perjalanan dari Los Angeles menuju ke Boston. -Gambar fail/Facebook United Airlines
BOSTON: Seorang lelaki dari Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) ditahan pihak berkuasa selepas cuba menikam seorang kru kabin wanita dalam sebuah pesawat.
Memetik laporan CBS News, suspek Francisco Severo Torres juga didakwa atas kesalahan cuba membuka pintu kecemasan pesawat United Airlines yang ketika itu sedang dalam perjalanan dari Los Angeles menuju ke Boston.
Menurut siaran berita daripada Pejabat Peguam AS di Massachusetts, lelaki berusia 33 tahun itu didakwa menyerang kru penerbangan menggunakan senjata berbahaya di antara kelas pertama dan koc.
Torres juga didakwa memukul leher seorang pramugari dengan sudu besi sebanyak tiga kali hingga patah.
Tindakan Torres berjaya dihalang penumpang serta kru kabin sebelum dia ditahan selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston.
Sejurus ditahan, Torres memberitahu pasukan penyiasat bahawa dia telah mematahkan hujung sudu di bilik air sebelum cuba membuka pintu pesawat untuk melompat keluar.
Pegawai polis Boston dalam afidavit memaklumkan Torres bertindak sedemikian kerana menyangka salah seorang kru cuba membunuhnya, malah dia turut sedar tindakannya membuka pintu pesawat boleh membunuh semua penumpang.
Sementara itu, Pejabat Peguam AS memaklumkan Torres bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
United Airlines dalam pada itu memaklumkan Torres dilarang menaiki penerbangan syarikat itu sementara siasatan kes sedang dijalankan.
#United Airlines #Francisco Severo Torres #buka pintu pesawat #tikam pramugari
;