Penumpang cemas selepas pesawat Germanwings terima ancaman bom
AFP
April 13, 2015 09:52 MYT
April 13, 2015 09:52 MYT
Para penumpang dan anak kapal penerbangan Germanwings dari Cologne, Jerman, ke Milan, Itali, cemas seketika apabila diarahkan mengosongkan pesawat sejurus sebelum berlepas susulan mendapat ancaman bom pada Ahad.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat tambang rendah milik syarikat penerbangan Lufthansa itu, mereka dimaklumkan mengenainya oleh pihak polis.
Insiden berlaku kurang tiga minggu daripada tragedi pesawat miliknya yang terhempas dan meragut 150 nyawa ketika dalam perjalanan dari Barcelona ke Duesseldorf.
Dalam kejadian itu, pembantu juruterbang pesawat malang itu, Andreas Lubitz dipercayai sengaja menjunamkan pesawat.
Sekumpulan anggota pasukan mencari bom bersama unit anjing kemudiannya dikerah untuk mengesan bom pada pesawat jenis Airbus A320 di lapangan terbang Cologne.
Sehingga laporan disiarkan, tidak diketahui sama ada sebarang bahan letupan ditemui pasukan terbabit.
Menurut agensi berita DPA, kesemua 126 penumpang dan anak kapal kemudiannya menaiki pesawat lain untuk ke destinasi dituju.