Penumpang ancam petugas kabin dengan pen, pesawat Air China terpaksa tukar haluan
Agensi
April 15, 2018 19:18 MYT
April 15, 2018 19:18 MYT
Sebuah pesawat Air China yang dalam penerbangan ke Beijing membuat pendaratan yang tidak dijadualkan di bandar Zhengzhou pada Ahad, selepas seorang penumpang mengancam seorang anak kapal dengan sebatang pen dakwat (fountain pen).
Agensi berita Reuters melaporkan, pihak berkuasa penerbangan awam negara itu sudah mengesahkan kejadian berkenaan.
Dalam satu kenyataan ringkas di laman web rasmi mereka, Agensi Pentadbiran Penerbangan Awam China berkata, seorang penumpang lelaki dalam pesawat Air China 1350, yang masih belum didedahkan identiti, cuba menggunakan pen untuk mengancam dan memaksa petugas kabin.
Tambah kenyataan itu, penumpang dan anak kapal lain dilaporkan selamat.
Pesawat itu telah berlepas dari Changsha, ibu kota wilayah Hunan, pada jam 8.40 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada jam 11 pagi.
Bagaimanapun, pesawat itu telah membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Xinzheng, Zhengzhou, di wilayah Henan, pada jam 9.58 pagi waktu tempatan.
Pihak Air China berkata, pesawat itu membuat pendaratan tersebut atas 'sebab-sebab keselamatan', dan pihak berkuasa penerbangan awam dan polis sedang menguruskan situasi berkenaan.