Penulis legenda novel perisik John le Carre meninggal dunia

Nailah Huda
Disember 14, 2020 11:01 MYT
Selama enam dekad, John le Carre mendominasi carta buku terlaris dan ulasan terkemuka dengan siri tulisan yang cukup ikonik. Foto - REUTERS.
PENULIS legenda Britain, David Cornwell, atau lebih dikenali sebagai John le Carré meninggal dunia pada usia 89 tahun pada Sabtu.
Beliau meninggal dunia selepas mengalami radang paru-paru, namun tiada kaitan dengan COVID-19, menurut kenyataan Jonny Geller, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi penulis The Curtis Brown Group.
Mendiang meninggalkan seorang isteri, Jane, dan empat anak lelaki.
“Dengan penuh dukacita, kami mengesahkan David Cornwell - John le Carré - meninggal dunia akibat pneumonia pada malam Sabtu lalu selepas menghidap penyakit itu buat seketika,” menurut kenyataan daripada ahli keluarganya.
“David meninggalkan isterinya yang telah dikahwini selama hampir 50 tahun, Jane, dan anak-anak lelakinya, Nicholas, Timothy, Stephen dan Simon.”
Selama enam dekad, John le Carré mendominasi carta buku paling laris dan ulasan terkemuka dengan siri tulisan yang cukup ikonik.
Mendiang mula menempah nama di pentas antarabangsa dengan novel ketiganya pada 1963, The Spy Who Came in from the Cold dengan mendedahkan latar belakangnya ketika bekerja dengan Perkhidmatan Risikan British.
Namun, buku-buku paling ikonik le Carré diterbitkan pada 1970-an seperti novel Tinker, Tailor, Soldier, Spy yang turut diikuti siri televisyen dibintangi Alec Guinness.
Ini disusuli dengan novel A Perfect Spy pada 1980-an yang sering digelar sebagai karya agung bagi mendiang.
Novel terakhirnya, Agent Running in the Field, diterbitkan pada Oktober 2019.
“Kami telah kehilangan seorang figura hebat dalam kesusasteraan Inggeris,” menurut kenyataan agensi Curtis Brown.
“Penulis sepertinya tidak akan muncul lagi dan pemergiannya akan dirasai setiap pencinta buku.”
Mendiang menghasilkan 25 novel serta sebuah memoir, The Pigeon Tunnel (2016), dan telah menjual lebih 60 juta penerbitan karyanya di seluruh dunia.
#John le Carre #David Cornwell #Tinker Tailor Soldier Spy #A Perfect Spy #The Spy Who Came in from the Cold #British #kesusasteraan #penulis #Alec Guinness #Buku #novel #ikonik
;