Penularan COVID-19: Myanmar beri pengampunan kepada 25,000 banduan
Astro Awani
April 17, 2020 15:41 MYT
April 17, 2020 15:41 MYT
Myanmar mengumumkan akan membebaskan kira-kira 25,000 banduan sebagai langkah mengurangkan kesesakan di penjara ekoran kebimbangan penularan COVID-19 di negara itu.
AFP yang memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden pada Jumaat sebagai berkata, pembebasan terbesar menerusi proses pengampunan itu adalah bersempena dengan sambutan tahun baharu traditional negara itu.
Jumlah itu termasuk 87 banduan warga asing yang akan dihantar pulang ke negara masing-masing dalam masa terdekat.
Pembebasan itu dilakukan ketika kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) memberi tekanan untuk membebaskan tahanan ekoran keadaan penjara yang sesak dan tidak bersih.
Selain Myanmar, beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), sebahagian Eropah dan Colombia juga bergelut dengan masalah yang sama ekoran penularan wabak pandemik.
Setakat ini, seramai 85 individu disahkan positif dengan empat kematian di penjara Myanmar.
Namun demikian para pakar menjangkakan angka sebenar adalah lebih tinggi memandangkan jumlah ujian pengesahan COVID-19 yang dijalankan adalah terlalu rendah.
Sementara itu, seorang pegawai kanan jabatan penjara di ibu negara Myanmar, Naypyidaw memberitahu, pembebasan banduan itu akan dilaksanakan dengan kadar segera, namun demikian beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, pengasas bersama Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), Bo Kyi berharap agar tahanan politik juga akan dimasukkan ke dalam senarai itu.
Katanya, seramai 76 tahanan politik sedang menjalani hukuman di penjara di seluruh negara itu.
Seorang aktivis Rohingnya yang enggan namanya disiarkan memberitahu AFP yang dia menerima maklumat bahawa kira-kira 1,500 tahanan etnik Rohingnya juga dimasukkan dalam senarai pengampunan itu.