Penting tingkatkan hubungan Australia dengan Asia Tenggara - Penny Wong

Bernama
Jun 30, 2022 07:15 MYT
Penny Wong ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakan-rakannya di Sabah, di Kota Kinabalu, 29 Jun 2022. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Memahami bahawa kemakmuran dan keselamatan masa depan dikongsi bersama, adalah penting untuk meningkatkan kesalinghubungan antara Australia dengan Asia Tenggara, kata Menteri Luar Australia Penny Wong.
Beliau berkata adalah amat penting untuk Australia berbincang dengan Asia Tenggara dalam cara yang mengiktiraf negara itu adalah sebahagian daripada rantau ini.
"Ini adalah masa yang mencabar untuk dunia. Kami sedang berusaha untuk mengharungi (cabaran) dan kami melakukan yang terbaik apabila melakukannya bersama-sama.
"Kesalinghubungan itu datang daripada pemahaman bahawa kemakmuran dan keselamatan masa depan kita dikongsi bersama," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Terdahulu, Wong mengimbas kenangan lalu apabila melawat bekas sekolahnya, Sekolah Antarabangsa Kinabalu dan bertemu masyarakat di Luyang di sini.
Beliau berkata Malaysia dan Australia berkongsi persamaan dari segi masyarakat yang pelbagai dan berbeza budaya, selain kedua-dua negara mempunyai sejarah lama dari segi hubungan rakyat dengan rakyat dan pertahanan serta kerjasama strategik.
"Hubungan sentiasa memerlukan penglibatan dan kerja, maka hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh (diperlukan)... menteri luar, anggota kerajaan, media malah masyarakat boleh terus membina hubungan itu," katanya.
Mengenai Sabah, Wong berkata negeri itu kaya dengan budaya hebat yang diamalkan dan dilihat daripada masyarakat di sini termasuk keluarganya sendiri.
"Sangat menarik apabila orang daripada budaya berbeza berkongsi dan mengalami pelbagai perkara yang sentiasa subur... dalam proses itu anda menemui perkara yang serupa dan berbeza yang boleh anda pelajari," katanya.
Wong turut menyatakan hasratnya untuk membina lebih banyak sinergi dan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan, dengan Sabah.
"Kami berharap akan ada lebih banyak jalinan. Kami telah membincangkan perkara ini; jelas sekali pendidikan adalah penting dan terdapat beberapa kaitan industri, tetapi kita mempunyai banyak kerja untuk dilakukan.
"Lawatan ini (ke Sabah) adalah untuk penglibatan rakyat ke rakyat dan saya bersyukur serta berbesar hati kerana ramai ahli politik dan orang kenamaan daripada pelbagai bahagian spektrum politik bersedia untuk melibatkan diri," katanya.
Ditanya mengenai kelewatan mendapatkan visa untuk rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Australia, beliau berkata ketika melawat Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia di Kuala Lumpur, beliau difahamkan terdapat tunggakan permohonan untuk disiapkan dan pihak Suruhanjaya Tinggi berusaha keras untuk menyelesaikan perkara itu.
Berhubung makanan terbaik yang pernah dirasa semasa balik kampung, Wong ketawa dan mengatakan bahawa ia adalah 'jook', bubur nasi Cina yang dimakan ketika sarapan di Restoran Kuo Man berusia 45 tahun yang beliau dan keluarga sering makan sejak sekian lama.
"Itu soalan yang sangat (menunjukkan anda) rakyat Malaysia," katanya senyum.
Wong yang merupakan anak kelahiran Kota Kinabalu sebelum berpindah ke Australia sejak kecil, mengadakan lawatan dua hari ke Sabah bermula Rabu.
-- BERNAMA
#Penny Wong #Asia Tenggara #Australia #Sabah
;