“Penting kekalkan persahabatan dengan Trump”, tuntut gencatan senjata Gaza dipatuhi - Erdogan
Bernama
Januari 21, 2025 08:30 MYT
Januari 21, 2025 08:30 MYT
ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menekankan kepentingan mengekalkan hubungan kukuh dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, selepas beliau kembali ke White House.
"Adalah sangat penting bagi kami untuk mengekalkan persahabatan yang sama seperti dalam penggal pertama Trump," kata Erdogan.
Beliau juga mengalu-alukan kenyataan Trump bahawa dia akan segera menamatkan perang Rusia-Ukraine, dengan menyatakan bahawa Turkiye bersedia untuk menyumbang kepada usaha damai.
"Turkiye memihak kepada keamanan. Dengan keamanan ini, kami percaya bahawa perpaduan antara negara di dunia harus diteruskan. Perang tidak akan membawa kita ke mana-mana," tambahnya, menekankan keperluan untuk tindakan diplomatik segera.
Erdogan berkata, beliau akan membincangkan perkara ini dengan Trump dalam mesyuarat akan datang dan mengambil langkah yang perlu sewajarnya.
Berbalik kepada perjanjian gencatan senjata Gaza, Erdogan menggesa pelaksanaan sepenuhnya dan menekankan keperluan untuk bantuan kemanusiaan tanpa gangguan kepada enklaf itu.
Bercakap pada sidang media bersama di Ankara dengan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, Erdogan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan Israel menunaikan tanggungjawabnya dalam gencatan senjata tiga fasa, yang bermula pada Ahad.
Gencatan senjata menyaksikan Hamas membebaskan tiga tebusan Israel, manakala Israel membebaskan 90 tahanan Palestin.
"Turkiye komited kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya", Erdogan mengulangi.
Erdogan dan Fico turut membincangkan hubungan dua hala, mengukuhkan hubungan antara Turkiye dan Slovakia melalui perkongsian strategik yang merangkumi kerjasama dalam sektor pertahanan, ketenteraan dan kebudayaan.
Perdagangan antara kedua-dua negara telah berkembang daripada US$1 bilion pada 2019 kepada US$3 bilion, dengan sasaran US$5 bilion tidak lama lagi.
Fico menegaskan semula sokongan Slovakia untuk keahlian (Kesatuan Eropah) EU Turkiye, dengan berkata: "Saya benar-benar percaya Slovakia akan terus menyokong kami dalam mencapai matlamat kami untuk menjadi ahli penuh Kesatuan Eropah."
Berucap pada perang Rusia-Ukraine, Erdogan menyatakan bahawa Slovakia mempunyai penglibatan diplomatik dengan kedua-dua Rusia dan Ukraine dan menekankan betapa mendesaknya keamanan yang adil dan berkekalan.
Mengenai keselamatan tenaga, Erdogan berkata, beliau dan Menteri Luar Hakan Fidan akan terlibat dengan rakan sejawatan Rusia berhubung keperluan gas asli Slovakia, berikutan pemberhentian aliran gas Rusia ke Eropah oleh Ukraine.
Erdogan juga menekankan kepentingan menarik balik sekatan antarabangsa ke atas Syria, menyokong usaha pembinaan semula, dengan Slovakia berpotensi memainkan peranan dalam inisiatif dua hala atau EU.
Fico seterusnya, menyatakan harapan untuk perkongsian EU-Turkiye yang lebih kukuh, mengesahkan sokongan penuh Slovakia untuk matlamat strategik Turkiye.
-- BERNAMA-AA
TAG: Recep Tayyip Erdogan, Donald Trump, Presiden AS ke-47, Turkiye, gencatan senjata, Palestin, Israel