Penterjemah palsu aibkan upacara peringatan Mandela

AFP
Disember 11, 2013 07:30 MYT
Penterjemah bahasa isyarat palsu (kanan) ketika upacara peringatan mendiang Nelson Mandela pada Selasa. --AFP PHOTO / ALEXANDER JOE
Masyarakat cacat pendengaran di Afrika Selatan mendakwa bahawa penterjemah bahasa isyarat pada majlis peringatan mendiang Nelson Mandela, adalah palsu.
Menurut mereka, individu yang telah melakukan 'bahasa isyarat' tersebut, hanyalah menggerak-gerakkan tangan semasa ucapan berlangsung.
"Dia seorang penipu," kata pengarah Pendidikan dan Perkembangan Bahasa Isyarat di Cape Town sambil menyifatkannya sesuatu yang memalukan.
"Dia tidak berbuat apa-apa pun, tiada satu pun isyarat. Dia cuma menggerak-gerakkan tangan secara kosong sahaja."
'Penterjemah' tersebut, yang kononnya sedang menterjemahkan ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kelihatan seperti sedang menghalau lalat dari kepala dan mukanya.
"Kominiti cacat pendengaran di Afrika Selatan sangat marah dan siapa pun tidak mengetahui gerangan lelaki tersebut," kata Loening.
"Kita tidak menemui sebarang nama atau apa jua (fakta). Pihak yang mengakreditasikan para penterjemah pun tidak mengetahui siapakah dia."
Majlis peringatan Mandela pada Selasa itu dihadiri kira-kira 100 bekas ketua negara itu sepatutnya diterjemahkan ke dalam bentuk bahasa isyarat bagi mereka yang kurang daya pendengaran.
Bagaimanapun ramai dari golongan tersebut dari serata dunia tidak memahami apa yang disampaikan oleh 'penterjemah' tersebut.
Seorang jurucakap bagi Persekutuan Cacat Pendengaran Afrika Selatan, Delphin Hlungwange berkata lelaki tersebut hanya membuat isyarat kosong.
Kerajaan Afrika Selatan juga dipercayai akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut.
#bahasa isyarat #Cape Town #Nelson Mandela #palsu #penipu #penterjemah
;