Pentas runtuh di upacara konvokesyen bukan insiden baru
Madiha Abdullah
April 5, 2016 18:44 MYT
April 5, 2016 18:44 MYT
KECOH di laman sosial dengan penyebaran sebuah video pentas runtuh di sebuah majlis konvokesyen di sebuah kolej.
Dalam maklumat awal yang diterima melalui aplikasi WhatsApp, pentas berkenaan runtuh ketika sesi bergambar melibatkan pelajar Malaysia di sebuah kolej di Mesir.
Namun daripada pencarian di laman sosial, insiden tersebut sebenarnya berlaku 29 Mac lalu, dan ia berlaku di luar sebuah fakulti, Kolej Farmasi Baghdad, Iraq.
Insiden itu juga tidak membabitkan pelajar dari Malaysia.
Portal Berita Harian juga melaporkan pengesahan daripada Wisma Putra tentang insiden berkenaan yang berlaku penghujung Mac lalu.
Dalam video berdurasi 15 saat itu, platform bertingkat yang dinaiki sekumpulan graduan itu tiba-tiba sahaja runtuh ketika sesi fotografi, menyebabkan suasana bertukar panik.
Sinar Harian melaporkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, sebaliknya hanya beberapa graduan dirawat sebagai pesakit luar di hospital.