Pentagon terlebih anggar nilai senjata, peralatan diberikan kepada Ukraine

Bernama
Jun 21, 2023 13:23 MYT
AS telah membekalkan Ukraine dengan bantuan ketenteraan berbilion dolar sejak Rusia melancarkan serangannya pada Februari 2022. - Gambar fail/ AP
WASHINGTON: Pentagon membuat anggaran berlebihan bagi nilai senjata dan peralatan yang dihantar ke Ukraine sebanyak AS$6.2 bilion sejak dua tahun lalu, kata seorang jurucakap pada Selasa yang membolehkan Amerika Syarikat (AS) menyediakan lebih banyak bantuan ketenteraan kepada tentera Ukraine tanpa perlu meminta Kongres untuk pembiayaan tambahan.
"Dalam sebilangan besar kes, perkhidmatan (tentera) menggunakan kos penggantian dan bukannya nilai bersih, dengan itu melebihkan nilai peralatan yang dikeluarkan daripada simpanan AS dan diberikan kepada Ukraine," kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon Sabrina Singh kepada media, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata Jabatan Pertahanan membuat anggaran berlebihan bagi nilai peralatan yang dihantar ke Ukraine pada tahun fiskal 2023 dan 2022 masing-masing sebanyak AS$3.6 bilion dan AS$2.6 bilion.
"Kesilapan penilaian ini sama sekali tidak mengehadkan atau mengehadkan saiz mana-mana (Pihak Berkuasa Pengeluaran Presiden) atau memberi kesan kepada penyediaan sokongan kepada Ukraine," tambah Singh.
AS telah membekalkan Ukraine dengan bantuan ketenteraan berbilion dolar sejak Rusia melancarkan serangannya pada Februari 2022.
Bantuan itu termasuk pelbagai peralatan ketenteraan seperti sistem pertahanan udara, peluru anti-kereta kebal, sistem roket jarak jauh, dron bunuh diri dan kereta perisai.
-- BERNAMA
#konflik Rusia-Ukraine #Amerika Syarikat #Pentagon #senjata
;