Pentagon rancang beku pengambilan pekerja - Setiausaha Pertahanan AS

Bernama
Februari 21, 2025 23:06 MYT
Pentagon juga akan memberhentikan pekerja yang dianggap "kurang berprestasi". - Reuters
MOSCOW: Pentagon akan membekukan sementara pengambilan pekerja baharu sebagai sebahagian daripada usaha mengoptimumkan fungsinya, kata Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kami akan melaksanakan pembekuan pengambilan pekerja dan mengambil lebih banyak masa untuk mengenal pasti individu berdasarkan prestasi, siapa yang akan kami ambil bekerja serta memberi ganjaran kepada pekerja yang rajin," kata Hegseth dalam satu mesej yang disiarkan di laman X Pentagon pada Khamis.
Beliau turut menyatakan bahawa Pentagon akan memberhentikan pekerja yang dianggap "kurang berprestasi".
Sementara itu, portal berita Defence One melaporkan, memetik sumbernya, bahawa pemberhentian kakitangan awam mungkin bermula pada Jumaat.
Pada Rabu, akhbar The Washington Post melaporkan bahawa pentadbiran Trump telah mengarahkan Pentagon untuk merangka pelan pemotongan belanjawan pertahanan sebanyak lapan peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang. Laporan itu menyebut bahawa langkah ini boleh menyebabkan belanjawan Pentagon berkurangan sebanyak puluhan bilion dolar.
Hegseth dilaporkan telah mengarahkan penyediaan pelan pengurangan belanjawan menjelang 24 Februari.
-- BERNAMA
#Pentagon #pemberhentian kerja #beku pengambilan pekerja #Amerika Syarikat
;