Pentagon, Jabatan Negara AS beri amaran jenayah perang Israel
Astro Awani
Oktober 5, 2024 07:30 MYT
Oktober 5, 2024 07:30 MYT
WASHINGTON: Pegawai kanan Pentagon dan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada pentadbiran Presiden Joe Biden mengenai kemungkinan berlakunya jenayah perang oleh Israel beberapa hari selepas tercetusnya peperangan di Gaza sejak 7 oktober tahun lalu.
Amaran diberikan berdasarkan siasatan oleh agensi berita Reuters.
Antara lain, laporan Reuters mendedahkan, selepas meneliti tiga set pertukaran e-mel antara pegawai kanan pentadbiran Washington bertarikh antara 11 hingga 14 Oktober lalu, pegawai-pegawai tersebut telah memberi amaran peningkatan jumlah kematian di Gaza mungkin melanggar undang-undang antarabangsa dan boleh menjejaskan hubungan AS dengan dunia Arab.
Menurut siasatan itu, e-mel tersebut turut menunjukkan tekanan dalaman pentadbiran Biden untuk menukar mesej dari menunjukkan solidariti dengan Israel kepada memasukkan simpati terhadap rakyat Palestin serta keperluan membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dalam satu e-mel yang dihantar pada 11 Oktober lalu, lima hari selepas serangan Hamas ke atas Israel dan permulaan serangan balas di Gaza, pegawai diplomasi awam tertinggi Jabatan Negara Bill Russo memaklumkan kepada pegawai kanan AS bahawa mereka kehilangan kredibiliti dalam kalangan penonton berbahasa Arab kerana tidak menangani krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza.
Russo menulis, kegagalan Washington untuk bertindak balas terhadap keadaan kemanusiaan rakyat Palestin bukan sahaja tidak berkesan dan membawa kesan buruk, malah ia turut dituduh bersubahat dengan jenayah perang yang mungkin berlaku dengan terus berdiam diri terhadap tindakan Israel terhadap orang awam.
Serentak itu, Russo menggesa pentadbiran Biden untuk mengambil tindakan segera dan mengubah pendirian awamnya yang menyokong tindak balas Israel terhadap serangan 7 Oktober dan perang seterusnya di Gaza.
Dua hari kemudian, pada 13 Oktober, Israel menyebarkan risalah di utara Gaza, memberi amaran kepada sejuta penduduk untuk meninggalkan rumah mereka dalam masa 24 jam selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengisytiharkan untuk ‘menghancurkan Hamas’.
Selepas panggilan telefon dengan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan bagi Asia Barat ketika itu, Dana Stroul, menulis dalam satu e-mel kepada pembantu kanan Biden tentang organisasi kemanusiaan tersebut memberi amaran secara peribadi Israel hampir melakukan jenayah perang.
Laporan Reuters pada 14 Oktober lalu, menyatakan penasihat kanan pertahanan Israel telah menghantar e-mel kepada rakan sejawatannya di Jabatan Negara untuk meminta penghantaran senjata dipercepatkan.
Sumber dari beberapa pegawai AS mendedahkan, sejak perang bermula, Washington telah menghantar sejumlah besar peluru kepada Israel, termasuk ribuan peluru berpandu tepat dan bom seberat 900 kilogram.