Pentagon akan kurangkan hingga 60,000 kakitangan awam
Bernama
Mac 19, 2025 05:00 MYT
Mac 19, 2025 05:00 MYT
Hegseth (gambar) menyasarkan untuk mengurangkan kira-kira 6,000 jawatan tenaga kerja awam Pentagon sebulan dengan tidak mengisi semula jawatan apabila pekerja berhenti. - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengurangkan 50,000 hingga 60,000 tenaga kerja awam melalui pemecatan, peletakan jawatan, dan pembekuan pengambilan pekerja dalam beberapa bulan akan datang, lapor Xinhua.
Berhasrat mengurangkan lima hingga lapan peratus daripada tenaga kerja awam Jabatan Pertahanan yang berjumlah kira-kira 900,000, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth menyasarkan untuk mengurangkan kira-kira 6,000 jawatan sebulan dengan tidak mengisi semula jawatan apabila pekerja berhenti, menurut ABC News pada Selasa, memetik seorang pegawai pertahanan kanan.
Pentagon akan melaksanakan pemotongan itu melalui tiga cara iaitu peletakan jawatan secara sukarela, pemecatan pekerja dalam tempoh percubaan, dan menghapuskan jawatan dengan tidak menggantikan pekerja yang berhenti secara rutin, menurut laporan itu.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas pentadbiran Presiden AS Donald Trump untuk mengurangkan tenaga kerja persekutuan.
-- BERNAMA-XINHUA