Pentadbiran Trump rangka senarai negara dilarang memasuki AS - Laporan

Bernama
Mac 7, 2025 18:15 MYT
Senarai baharu itu dilaporkan lebih meluas berbanding larangan perjalanan yang diperkenalkan Trump semasa penggal pertamanya. - Gambar hiasan/Reuters
MOSCOW: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang merangka senarai baharu negara yang rakyatnya dilarang memasuki AS, dengan Afghanistan kemungkinan termasuk dalam senarai itu, lapor The New York Times yang memetik pegawai, menurut Sputnik/RIA Novosti.
Senarai baharu itu dilaporkan lebih meluas berbanding larangan perjalanan yang diperkenalkan Trump semasa penggal pertamanya.
Senarai "merah" yang dicadangkan kini merangkumi kebanyakan negara yang disenaraikan dalam larangan perjalanan pertama Trump iaitu Cuba, Iran, Libya, Korea Utara, Somalia, Sudan, Syria, Venezuela dan Yaman.
Draf cadangan itu juga mencadangkan penambahan Afghanistan dalam senarai negara yang dilarang sepenuhnya daripada memasuki AS.
Selain itu, cadangan berkenaan turut merangkumi senarai "jingga" yang terdiri daripada negara yang rakyatnya tidak dilarang sepenuhnya memasuki AS tetapi akan dikenakan sekatan tertentu.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada visa sah akan dibatalkan atau pemegang kad hijau akan turut terjejas.
Pada 2017, ketika penggal pertamanya, Trump melaksanakan larangan perjalanan pertama yang pada mulanya menyasarkan negara majoriti Muslim sebelum diperluaskan kepada negara miskin lain, terutamanya di Afrika.
Bagaimanapun, sebaik sahaja Joe Biden mengambil alih jawatan presiden pada 2021, beliau memansuhkan larangan perjalanan itu.
-- BERNAMA
#pentadbiran Trump #negara dilarang memasuki Amerika Syarikat #Afghanistan #Donald Trump
;