Pentadbiran Trump pertimbang sekatan perjalanan warga dari puluhan negara

Agensi
Mac 15, 2025 10:10 MYT
Arahan Presiden Trump ini merupakan sebahagian daripada tindakan keras terhadap imigresen yang dilancarkannya pada permulaan penggal keduanya. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan sekatan perjalanan besar-besaran terhadap warganegara dari puluhan negara sebagai sebahagian daripada larangan baharu, menurut sumber yang mengetahui perkara itu serta satu memo dalaman yang dilihat oleh Reuters.
Memo tersebut menyenaraikan sejumlah 41 negara yang dibahagikan kepada tiga kumpulan berasingan.
Kumpulan pertama melibatkan 10 negara, termasuk Afghanistan, Iran, Syria, Cuba dan Korea Utara yang akan dikenakan penggantungan visa sepenuhnya.
Sementara dalam kumpulan kedua, lima negara iaitu Eritrea, Haiti, Laos, Myanmar dan Sudan Selatan pula bakal menghadapi penggantungan separa yang menjejaskan visa pelancong, visa pelajar serta visa imigresen lain dengan beberapa pengecualian.
Tidak ketinggalan kumpulan ketiga terdiri daripada 26 negara, termasuk Belarus, Pakistan dan Turkmenistan yang akan dipertimbangkan untuk penggantungan separa pengeluaran visa AS sekiranya kerajaan mereka "gagal mengambil langkah bagi menangani kelemahan dalam tempoh 60 hari" menurut memo itu.
Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan namanya didedahkan memberi amaran senarai itu masih boleh berubah dan belum mendapat kelulusan akhir daripada pentadbiran, termasuk Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Akhbar The New York Times merupakan media pertama yang melaporkan senarai negara terbabit.
Langkah ini mengingatkan kembali kepada larangan perjalanan Trump semasa penggal pertamanya terhadap pelancong dari tujuh negara majoriti Islam, satu dasar yang melalui beberapa pindaan sebelum akhirnya disahkan oleh Mahkamah Agung pada 2018.
Trump telah mengeluarkan perintah eksekutif pada 20 Januari lalu yang mengarahkan kawalan keselamatan terhadap warga asing yang ingin memasuki AS diperketatkan bagi mengesan ancaman keselamatan negara.
Perintah itu turut mengarahkan beberapa anggota Kabinetnya untuk menyerahkan senarai negara yang akan dikenakan sekatan perjalanan sepenuhnya atau sebahagian menjelang 21 Mac kerana "maklumat pemantauan dan saringan mereka terlalu lemah."
Arahan Trump ini merupakan sebahagian daripada tindakan keras terhadap imigresen yang dilancarkannya pada permulaan penggal keduanya.
Beliau telah memberi bayangan mengenai pelan ini dalam satu ucapan pada Oktober 2023, dengan berjanji
akan menyekat kemasukan individu dari Gaza, Libya, Somalia, Syria, Yemen dan "mana-mana tempat lain yang mengancam keselamatan AS."
Jabatan Negara AS, bagaimanapun, belum memberikan sebarang komen terhadap permintaan maklum balas daripada Reuters. - Reuters
#Donald Trump #sekatan perjalanan #penggantungan visa #larangan baharu
;