'Pentadbiran Los Angeles kecewakan kami', kata Ketua Jabatan Bomba
Bernama
Januari 11, 2025 21:28 MYT
Januari 11, 2025 21:28 MYT
LOS ANGELES: Ketua Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD), Kristin Crowley, pada Jumaat berkata pentadbiran bandar raya itu gagal membantu LAFD ketika kebakaran besar terus memusnahkan bandar raya berkenaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beliau berkata, pemotongan belanjawan sebanyak AS$17 juta untuk jabatan bomba memberi kesan negatif terhadap keupayaan agensi itu memadamkan kebakaran.
"Kami tidak lagi dapat bertahan dengan keadaan sekarang. Kami kekurangan anggota bomba," kata Crowley dalam temu bual bersama penyiar CNN.
Menurut Crowley, beliau berulang kali cuba menunjukkan kepada pegawai bandar raya tentang "betapa kekurangan tenaga kerja, sumber dan pembiayaan yang dialami LAFD," katanya kepada Jake Tapper dari CNN pada petang Jumaat.
Crowley berkata jabatan itu mencatatkan peningkatan sebanyak 55 peratus dalam jumlah panggilan sejak 2010, tetapi bilangan anggota bomba semakin menurun.
"Sumber tambahan yang diterima akan membantu kami menangani bencana semasa ini. Namun, untuk masa depan, potensi kejadian seperti ini boleh berlaku di mana-mana sahaja di seluruh bandar raya Los Angeles, dan kami perlu dibiayai serta disokong sepenuhnya," katanya.
Sekurang-kurangnya 11 orang maut akibat kebakaran besar yang melanda kawasan Greater Los Angeles dalam beberapa hari kebelakangan ini, menurut Pejabat Koroner Daerah Los Angeles pada Jumaat.
Mangsa yang dilaporkan oleh pemeriksa perubatan itu semuanya maut pada Rabu dan Khamis. Enam daripadanya terkorban dalam Kebakaran Eaton berhampiran Pasadena, manakala lima lagi dalam Kebakaran Palisades di Daerah Pacific Palisades. Beberapa kebakaran besar berlaku di kawasan itu sejak Selasa, namun kedua-dua kebakaran ini adalah yang paling teruk.
-- BERNAMA