Pentadbiran Biden tidak akan kuatkuasakan pengharaman TikTok, kata pegawai Rumah Putih
Bernama
Januari 17, 2025 20:25 MYT
Januari 17, 2025 20:25 MYT
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden tidak akan melaksanakan larangan TikTok sehari sebelum beliau meninggalkan jawatannya pada Isnin, dengan keputusan itu diserahkan kepada pentadbiran baharu Donald Trump, menurut seorang pegawai Rumah Putih seperti dilaporkan Xinhua.
"Memandangkan tarikh kuat kuasa adalah pada hujung minggu cuti dan sehari sebelum pelantikan presiden, keputusan untuk melaksanakan larangan itu akan ditentukan oleh pentadbiran baharu," lapor CNN pada Khamis dengan memetik seorang pegawai Rumah Putih yang tidak dinamakan.
Pada April 2024, Biden menggubal undang-undang dikenali sebagai Protecting Americans from Foreign Adversary Controlled Applications Act, yang memberikan syarikat induk TikTok, ByteDance, tempoh 270 hari untuk menjual TikTok atas alasan kebimbangan keselamatan negara yang dianggap tidak berasas.
Sekiranya syarikat itu gagal mematuhi peraturan, undang-undang itu mengkehendaki pengendali kedai aplikasi seperti Apple dan Google untuk mengeluarkan TikTok daripada platform mereka.
Larangan itu dijadualkan berkuat kuasa pada Ahad, sehari sebelum Presiden AS yang baharu, Trump, memegang jawatan.
Jangkaan bahawa TikTok akan dihentikan menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan ratusan juta penggunanya di AS dan juga beberapa anggota Kongres.
Trump baru-baru ini menggesa Mahkamah Agung menangguhkan pengharaman TikTok bagi memberikan masa untuk penyelesaian yang dirundingkan.
Mahkamah Agung Amerika Syarikat dijangka mengumumkan keputusannya mengenai nasib TikTok pada pagi Jumaat, menurut kemas kini terakhir jadualnya.
"Mahkamah mungkin mengumumkan keputusan pada laman utama bermula pukul 10 pagi. Mahkamah tidak akan bersidang," menurut satu notis oleh Mahkamah Agung.
TikTok sebelum ini telah menyaman Kerajaan AS pada Mei 2024 bagi menghalang kemungkinan larangan itu, dengan kes itu akhirnya dibawa ke Mahkamah Agung pada Disember 2024.
Mahkamah Agung mendengar hujah lisan mengenai undang-undang kontroversi itu pada Jumaat lepas.
-- BERNAMA