Pensyarah kena jerat pemburu pedofilia, minta peluk cium 'gadis 13 tahun'
Astro Awani
Februari 14, 2018 12:54 MYT
Februari 14, 2018 12:54 MYT
SEORANG pensyarah kanan University of Hull, United Kingdom, tidak menyangka pesanan yang dihantar kepada individu yang dipercayainya sebagai gadis berusia 13 tahun memakan diri.
Dalam mesejnya Sunil Shastri meminta pelukan dan ciuman daripada ‘gadis’ itu. Pensyarah berusia 62 tahun itu turut memaklumkan dia mungkin dipenjarakan jika mereka bertemu.
Hakikatnya Shastri bukan berhubung dengan individu seperti yang dia sangka, sebaliknya dia masuk dalam perangkap kumpulan pemburu pedofilia, Guardian of the North.
Natijahnya dia ditahan selepas bahan bukti diserahkan kepada pihak polis. Malah dia bertindak meletak jawatannya sebagai pensyarah kanan di Jabatan Biologikal dan Sains Alam Sekitar di universiti berkenaan.
Bapa kepada seorang anak ini mengaku menghantar mesej berbaur lucah meskipun yakin 'gadis' berkenaan di bawah umur.
Dia juga meminta ‘gadis’ berkenaan menghantar gambarnya dengan hanya berseluar dalam.
Shastri dijatuhi hukuman penjara empat bulan. Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan dua tahun kerana mengambil kira pesalah merupakan seorang ketua rumah yang berkerja keras menyara keluarga.
Selain itu risiko untuknya mengulangi perbuatan sama amat rendah selepas menunjukkan penyesalan di atas perbuatannya.
Shastri turut diperintahkan menjalani kelas pemulihan selama sepuluh hari dan diarahkan untuk menyertai program rawatan bagipesalah seks.
Jurucakap University of Hull enggan mengulas lanjut atas alasan Shastri tidak lagi berkhidmat untuk institusi pendidikan itu.