Penstrim mukbang maut akibat obesiti

Sinar Harian
Mac 16, 2025 09:15 MYT
Pempengaruh TikTok terkenal dari Turkiye, Efecan Kultur, meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan berkaitan obesiti. - Agensi/Sinar Harian
ANKARA: Seorang pempengaruh TikTok terkenal dari Turkiye, Efecan Kultur, 24, yang meraih populariti menerusi siaran langsung mukbang, meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan berkaitan obesiti.
Fenomena mukbang, yang bermula di Korea Selatan sebelum menular ke seluruh dunia, menyaksikan individu makan dalam jumlah besar di hadapan kamera demi hiburan penonton.
Walaupun konsep ini mendapat sambutan, ia turut menimbulkan kebimbangan mengenai obesiti dan pembaziran makanan.
Efecan, yang memiliki lebih 156,000 pengikut di TikTok dan 12,000 pengikut di Instagram, adalah antara penstrim mukbang paling popular di Turkiye.
Namun, kejayaannya dalam dunia digital membawa kesan buruk apabila berat badannya terus meningkat sehingga menjejaskan kesihatannya.
Sejak beberapa bulan lalu, dia mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit jantung.
Pada Oktober tahun lalu, dia mengumumkan hasratnya untuk berdiet serta mengurangkan pengambilan garam demi menurunkan berat badan.
Bagaimanapun, usaha itu tidak sempat membuahkan hasil apabila dia menghembuskan nafas terakhir awal bulan ini akibat komplikasi obesiti.
Laporan media Turkiye menyebut bahawa Efecan sudah lama bergelut dengan masalah berat badan tetapi terpaksa meneruskan kerjaya mukbangnya kerana populariti dan permintaan tinggi daripada pengikutnya.
Video makannya sering meraih jutaan tontonan di TikTok, dengan ribuan peminat menonton siaran langsungnya setiap kali dia menikmati hidangan dalam jumlah luar biasa.
Malangnya, tabiat pemakanan yang tidak sihat itu akhirnya merosakkan kesihatannya ketika usianya masih muda.
Beberapa bulan sebelum kematiannya, Efecan mula mengalami kesukaran bernafas dan didiagnosis menghidap penyakit jantung. Keadaannya semakin teruk sehingga dia sukar untuk bangun dari katil.
Video terakhirnya di YouTube dimuat naik lapan bulan lalu, manakala rakaman mukbang terakhirnya bertarikh Oktober tahun lalu, di mana dia berkongsi dengan peminat mengenai rancangannya untuk berdiet dan mengurangkan pengambilan garam.
Pada Januari tahun ini, Efecan mula memuat naik kemas kini dari hospital tempat dia menerima rawatan akibat komplikasi obesiti. Namun, selepas tiga bulan menjalani rawatan, dia disahkan meninggal dunia pada 7 Mac.
Kematian tragisnya sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai trend mukbang serta risiko kesihatan yang dihadapi mereka yang melakukannya demi populariti dan wang. - Agensi/Sinar Harian
#Mukbang #Efecan Kultur #obesiti #pempengaruh media sosial
;