Penonton di Gaza nikmati malam pertama tayangan filem selepas 20 tahun

Agensi
Mac 1, 2016 18:54 MYT
Pandangan bandar Gaza dari kawasan yang dikuasai Israel. Suatu ketika dahulu, perniagaan panggung wayang sangat berjaya. - Foto AFP
Warga Palestin di Gaza akhirnya berpeluang menonton wayang sejak pergeseran politik membawa kepada pembakaran banyak panggung wayangnya 20 tahun yang lalu.
Namun begitu, bukan filem Hollywood yang ditayangkan ini kerana puak Hamas yang menguasai Gaza ketika ini hanya memilih filem mengenai perjuangan rakyat Palestin buat tontonan warganya.
Sekitar 150 orang mengambil tempat duduk di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah Gaza minggu lalu, yang kebiasaannya digunakan untuk majlis keraian atau tarian kebudayaan, bagi menonton filem Palestin berjudul Oversized Coat yang diterbitkan pada tahun 2013.
Filem yang menjalani penggambaran di Jordan itu diarah oleh pengarah dari Palestin Nawras Abu Saleh yang telah mengkaji kehidupan Palestin antara tahun 1987 dan 2011, tempoh usaha damai yang gagal dan dua kebangkitan anti-Israel.
Tiket dijual pada harga 10 shekels (RM10) sekeping.
Salah seorang penonton, Alaa Abu Qassem, yang juga merupakan pelajar Gaza meluahkan perasaannya selepas kali pertama menonton wayang dalam hidupnya.
"Saya sangat gembira, tapi di mana bertih jagung?" kata Qassem, yang hanya berumur dua tahun ketika panggung wayang di Gaza diletupkan sewaktu perang Palestin.
Perniagaan panggung wayang sangat berjaya satu ketika dahulu di Gaza.
Pada tahun 1950, orang Mesir yang menjayakan perniagaan itu sering memainkan filem-filem dari Arab Saudi, Barat dan Asia.
Pawagam di Gaza telah dibakar pada tahun 1987 apabila pemberontakan Palestin yang pertama meletus.
Semuanya telah dibaiki kemudiannya, tetapi dibakar sekali lagi semasa berlaku konflik dalaman pada tahun 1996.
#Gaza #Palestin #wayang
;