Penjual teh Pakistan tolak tawaran berlakon, baru sedar dia tampan
Reuters
Oktober 24, 2016 12:42 MYT
Oktober 24, 2016 12:42 MYT
PENJUAL teh di Pakistan yang menjadi fenomena gara-gara gambarnya yang viral, Arshad Khan, dilaporkan telah menolak tawaran untuk membintangi filem.
Biarpun gembira dan teruja dengan perhatian yang diterimanya, namun Arshad mengakui tidak mempunyai rancangan untuk bergelar pelakon.
Remaja berusia 18 tahun itu menjadi sensasi media sosial selepas gambarnya sedang bekerja di warungnya, dimuat naik seorang pengguna Instagram, tersebar dan dikongsi oleh puluhan ribu pengguna lain.
Arshad disifatkan netizen sebagai mempunyai ketampanan yang unik, kerana sepasang matanya yang berwarna biru kehijauan.
Berketurunan Pashtun, Arshad berkata kerjaya sebagai pelakon bukan perkara biasa dalam kalangan mereka.
"Lagipun tiada sesiapa dalam keluarga saya yang menjadi pelakon," katanya.
Dia yang turut ditawarkan peluang sebagai peragawan, memberitahu, dia seronok dengan kemasyuran yang tiba-tiba dimilikinya.
"Saya baru sahaja tahu saya sebenarnya tampan. Semua orang mahu mengambil gambar dan video dengan saya," ujar Arshad.