Penjual teh ais, Sunhaji kini figura popular
Sinar Harian
Disember 9, 2024 09:00 MYT
Disember 9, 2024 09:00 MYT
JAKARTA: Kisah penjual teh ais yang dihina oleh seorang pendakwah yang tular di media sosial baru-baru ini, menjadi satu fenomena yang meraih perhatian ramai, ceritanya bahkan popular di Malaysia.
Siapa sangka, seorang yang 'tiada apa-apa' menjadi popular sekelip mata, malah turut mendapat tumpuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut tersentuh dengan apa yang berlaku ke atas lelaki berusia 38 tahun itu.
Anwar menyifatkan insiden menghina penjual teh ais oleh pendakwah terkenal itu adalah menginsafkan serta memberi pengajaran berguna.
“Sikap angkuh dan sombong itu kadang-kadang bukan sahaja dalam kalangan (mereka) tidak tahu agama, tidak semestinya.
“Saya lihat (video) saya rasa aneh dan luar biasa, tetapi bagi saya pengajarannya menginsafkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya baru-baru ini.
Susulan pelbagai tekanan yang diterima, pendakwah itu yang dikenali sebagai Miftah Maulana Habiburrahman atau Gus Miftah akhirnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Utusan Khas Presiden Indonesia.
Sunhaji bermula sebagai tukang kayu
Sunhaji kini menetap di rumah mentuanya di Dusun Gesari, Desa Banyusari, Kecamatan Grabag, Kabupaten Magelang bersama isterinya, Yuli Fatimah, 34, dan dua anak mereka.
Kisah hidupnya sangat menyentuh hati, anak yatim piatu itu sejak dari usia kanak-kanak hidup dalam serba kesusahan.
Kemiskinannya menyebabkan beliau sekarang menumpang di rumah mentuanya yang kecil dan serba kekurangan.
Meskipun begitu, ayah dua anak ini seorang yang rajin dan peramah.
Difahamkan beliau juga sering menjadi bilal di masjid dan kerap mengikuti ceramah agama sambil menjual teh aisnya.
Media tempatan melaporkan, beliau pernah hanya mendapatkan keuntungan sebesar Rp10,000 (sekitar RM3) hasil daripada berjualan teh ais.
Sebelum bergelar penjual teh ais, Sunhaji dulunya bekerja sebagai tukang kayu, namun akibat kemalangan yang mengakibatkannya cedera pada tangan kiri, beliau kemudiannya beralih menjadi penjual teh ais dan air mineral.
Perniagaannya sebagai penjual kini telah berlanjutan selama setahun.
“Tangan saya sudah tidak kuat untuk mengangkat benda yang berat-berat, makanya saya berjualan seperti ini (meniaga kecil-kecilan menjual teh ais dan air mineral),” katanya kepada Kompas.com baru-baru ini.
Banjir simpati, terima durian runtuh
Selepas video hinaannya tular, rumah mentuanya dipenuhi orang ramai, bahkan rumah yang didiaminya itu turut didatangi pelbagai lapisan masyarakat termasuk tokoh, pempengaruh dan lain-lain bagi memberinya bantuan.
Antara yang terawal mengunjunginya adalah seorang pempengaruh popular Indonesia, iaitu Willie Salim yang memberinya Rp100 juta (RM27,847) secara tunai.
Jelas Sunhaji, wang itu nanti akan digunakannya untuk membuka warung makan.
Sementara itu, Amar Suratie dari Kota Malang mahu menaja pasangan itu untuk mengerjakan umrah secara percuma.
Selain itu, ada individu bernama Bang Senja mengirimkan hadiah TikTok bernilai Rp300 juta (RM83,541).
Masjid Nurul Ashri pula akan membina sebuah rumah untuknya dan keluarga dengan kos dijangka menelan belanja sekitar Rp300 juta (RM83,541).
Dalam pada itu Partai Gerinda menyediakan bantuan modal untuk beliau berniaga.
Perkembangan terkini memetik laporan Tribun-Medan, beliau berjaya mengumpul Rp400 juta (RM111,389) hanya dalam seminggu hasil daripada sumbangan orang ramai, malah rumahnya kini menyediakan buku kedatangan daftar tetamu kerana terlalu ramai orang yang datang melawat. - Agensi/Sinar Harian