Penjual sayur ratakan jalan berlubang demi memperingati kematian anak
AFP
September 14, 2018 18:22 MYT
September 14, 2018 18:22 MYT
Seorang bapa sanggup meratakan jalan raya bagi memperingati kematian anaknya yang terlibat dalam kemalangan akibat jalan berlubang.
Dadarao Bilhore, 48 tahun, mengambil keputusan untuk melakukan perkara itu bagi mengubati kesedihan yang ditanggung sekali gus tidak mahu ibu bapa lain merasai deritanya.
Anak Bilhore, Prakash Bilhore telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Julai 2015 sewaktu berusia 16 tahun.
"Kematian Prakash meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Saya melakukan perkara ini (meratakan jalan raya) untuk mengingati dan menghormati pemergiannya,” kata Bilhore yang merupakan seorang penjual sayur.
Bilhore berharap tindakannya itu mampu menyelamat nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Menggunakan pasir dan kerikil yang dikumpulkan dari laman bangunan, Bilhore telah meratakan hampir 600 lubang di seluruh Mumbai.