'Penjenayah paling tampan' ditawar kontrak RM80,000 jadi peragawan

Madiha Abdullah
Mac 11, 2016 11:30 MYT
Gambar 'mugshot' Meeks viral dimuat naik ke akaun Facebook Jabatan Polis Stockton, California. -Foto Instagram Jeremy Meeks
DILABEL sebagai "penjenayah paling tampan" nampaknya memberi kelebihan buat Jeremy Meeks.
Baru sahaja dibebaskan dari penjara, Meeks terus disambar agensi modeling dan ditawarkan kontrak sebagai peragawan.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Meeks memaklumkan dia sudah pun menerima tawaran daripada agensi White Cross Management bernilai AS$20,000 (RM82,000).
Meeks, 30 tahun, yang berasal dari California, Amerika Syarikat sebelum ini pernah meluahkan hasrat untuk membintangi siri televisyen "Sons of Anarchy".
Dalam status itu, Meeks turut meluahkan penghargaan kepada pemilik agensi berkenaan, Jim Jordan, serta keluarga dan orang ramai yang mempercayainya.
Meeks mendapat perhatian netizen selepas gambar mugshot yang diambil selepas dia ditahan dimuat naik ke akaun Facebook Jabatan Polis Stockton, California.
Sejak beberapa tahun kebelakangan, Meeks yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, kerap keluar masuk penjara atas pelbagai kesalahan.
Jun tahun lalu, dia sekali lagi diberkas atas kesalahan memiliki senjata tanpa lesen dan dikenakan hukuman penjara 27 bulan, namun dibebaskan awal kerana berkelakuan baik.
#banduan #Jeremy Meeks #model #peragawan #White Cross Management
;