Penjawat awam Indonesia gagal hadir kerja selepas Aidilfitri dikenakan tindakan disiplin
Agensi
Jun 10, 2019 18:23 MYT
Jun 10, 2019 18:23 MYT
Penjawat awam Indonesia yang gagal kembali bertugas selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri bakal berdepan tindakan tatatertib, daripada amaran hinggalah ke arahan turun pangkat.
Portal berita Tempo melaporkan, pihak majikan berbuat demikian memandangkan perkara itu sering menjadi masalah pada setiap tahun.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tjahjo Kumolo dipetik sebagai berkata, tindakan akan diambil ke atas mereka yang tidak masuk kerja pada Isnin (10 Jun), iaitu hari pertama bekerja selepas cuti perayaan itu.
Tambahnya hukuman dikenakan bagi memastikan penjawat awam dalam kementerian itu patuh pada peraturan dan kekal berdisiplin.
“Penjawat awam yang tidak hadir bertugas dan tidak menghadiri acara perhimpunan pagi tanpa alasan munasabah akan menerima amaran bertulis daripada Setiausaha Agung selain elaun prestasi mereka dipotong,” ujar Tjahjo dalam satu kenyataan.
Pekerja yang sengaja mengelak daripada masuk kerja juga akan digantung tugas selama tiga hari, melainkan mereka yang disahkan sakit atau mempunyai urusan kecemasan keluarga.
Perkara yang sama juga dinyatakan oleh Gabenor Jakarta Anies Baswedan. Menurutnya, tindakan akan dikenakan ke atas penjawat awam yang gagal hadir atau masuk lambat ke pejabat pada Isnin.
Berdasarkan statistik yang diterimanya, sejumlah 66,087 orang atau 99.73 peratus pekerja penjawat awam di Jakarta memulakan tugas pada Isnin, manakala sekitar 185 orang atau 0.27 peratus gagal hadir pada waktunya.
Anies berkata, berdasarkan peraturan kerajaan, terdapat beberapa peringkat tindakan disiplin yang boleh digunakan, antaranya amaran lisan, menunda peningkatan paras gaji ataupun menurunkan pangkat.
Cuti hari raya pada tahun ini berlangsung dari 3 hingga 7 Jun, bagaimanapun berlaku juga kes ketidakhadiran kerja bagi penjawat awam yang lebih awal dari tarikh tersebut.
#Aidilfitri
#Anies Baswedan
#cuti raya
#Gabenor Jakarta
#hari raya
#Indonesia
#penjawat awam
#potong gaji
#tatatertib
#tindakan disiplin
#turun pangkat