'Penjarakan Ahok!' - gesa umat Islam Indonesia
Agensi
Disember 2, 2016 22:19 MYT
Disember 2, 2016 22:19 MYT
Lebih 200,000 umat Islam Indonesia berdoa sambil melaungkan bacaan ayat-ayat Al-Quran pada Jumaat dalam demonstrasi utama kedua dalam menentang Gabenor Kristian di Jakarta, sebagai kumpulan pendesak agar beliau ditahan atas dakwaan menghina Islam.
Mereka tiba dengan berjubah putih dan kopiah dengan lebih 20,000 anggota keselamatan dikerah bagi mengelak keganasan yang tercetus sebelum ini dalam protes ke atas Basuka Tjahaja Purnama.
Purnama, yang juga dikenali sebagai Ahok, didakwa menghina islam dalam kempen pilihan raya yang dibuat mengenai Al-Quran lantas mencetuskan kemarahan di negara dengan penduduk beragama Islam paling ramai di dunia.
Kejadian ini dilihat sebagai ujian toleransi terbesar kepada Indonesia selepas berlakunya peningkatan kes serangan ke atas golongan minoriti.
Keputusan untuk mendakwa Purnama, gabenor bukan Islam pertama di Jakarta dilihat tidak cukup untuk meredakan kemarahan konservatif ini malah mereka menuntut agar beliau ditangkap.
Penunjuk perasaan yang hadir pada Jumaat turut mengibarkan sepanduk berbunyi 'penjara Ahok' dan diarak di jalan-jalan utama serta berkumpul di taman sambil mengelilingi Tugu Negara di pusat bandar Jakarta.
Presiden Joko Widodo, sekutu Purnama telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Islam dan politik di lokasi himpunan bagi meredakan ketegangan serta menyertai solat berjemaah sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka atas perhimpunan yang aman.
Gabenor Jakarta Purnama, seorang etnik Cina dikenali sebagai Ahok bertanding untuk pemilihan semula pada bulan Februari berdepan dua calon Muslim.
Pertandingan merebut jawatan gabenor semakin tegang dan spekulasi bertiup kencang ia adalah plot untuk melemahkan Presiden Joko Widodo dan membantutkan peluangnya untuk memenangi penggal kedua pada 2019.
Sementara itu, jurucakap polis, Rikwanto berkata, 10 orang telah ditahan sebelum Subuh di bawah Akta Kanun Jenayah yang meliputi konspirasi dan tindakan perkhianatan.
Dia daripada mereka telah didakwa di bawah undang-undang teknologi maklumat.
"Mereka kini telah ditahan dan sedang disiasat," kata Rikwanto.
Purnama disiasat atas komen yang dibuat mengenai al-Quran dalam siri kempen politik yang dihadirinya.
Beliau menafikan salah laku tetapi telah memohon maaf atas kenyataan tersebut.