Penjara Israel cuai didakwa punca bekas banduan Palestin maut

Astro Awani
Januari 9, 2025 08:30 MYT
Ismail ketika menerima rawatan di Jordan. - Foto X/Sarah Wilkinson
GAZA: Bekas banduan Palestin, Ismail Taqatqa, dilaporkan meninggal dunia di Jordan pada pagi Rabu, lima bulan selepas dibebaskan daripada penjara Israel.
Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan dan Persatuan Banduan Palestin (PPS) dalam satu kenyataan, Ismail menjadi mangsa kecuaian rawatan perubatan yang berterusan di penjara Israel.
Jelas kenyataan itu, selepas dibebaskan, Ismail disahkan menghidap leukemia dan tidak dikesan atau dirawat sewajarnya semasa beliau berada dalam tahanan.
Ismail adalah mangsa terbaru kecuaian rawatan perubatan sistematik yang dilakukan oleh sistem penjara Israel terhadap ribuan banduan.
Mereka terus dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya, selain menjadi sasaran penyeksaan secara berterusan, terutama sejak permulaan perang Israel-Hamas.
Selain PPS, organisasi hak asasi manusia kerap mengecam layanan buruk terhadap tahanan Palestin di penjara Israel.
Ini termasuk kegagalan memberikan rawatan perubatan mencukupi sehingga menyebabkan kemerosotan serius tahap kesihatan para tahanan dan dalam beberapa kes membawa kepada kematian.
#Ismail Taqatqa #bekas banduan #Gaza #Israel
;