Penjaga zoo kritikal diserang dua ekor singa
Agensi
Mei 29, 2020 21:41 MYT
Mei 29, 2020 21:41 MYT
Seorang penjaga zoo di Australia mengalami kecederaan kritikal akibat dibaham dua ekor singa ketika membersihkan kurungan haiwan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa, wanita berusia 35 tahun yang cedera parah di kepala dan leher itu diterbangkan ke hospital sejurus insiden itu berlaku di Zoo Shoalhaven, kira-kira 160 kilometer ke selatan Sydney.
Kakitangan perubatan memaklumkan, keadaan wanita itu kritikal tetapi stabil.
Zoo Shoalhaven ditutup kepada umum sejak 25 Mac lalu berikutan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.
Menurut stesen siaran ABC, di zoo berkenaan pernah terjdi kes serangan buaya pada 2014 apabila pengendalinya diheret memasuki kolam oleh reptilia sepanjang 3.7 meter di hadapan kira-kira 60 penonton.
Dalam kejadian terbabit, buaya berkenaan melepaskan mangsanya, yang hanya mengalami kecederaan.