Penjaga kota suci mula tunjuk taring kepada Amerika Syarikat
Agensi
Januari 22, 2018 15:13 MYT
Januari 22, 2018 15:13 MYT
Tiada jalan keluar lain dalam konflik Palestin-Israel selain pelan penyelesaian dua negara.
Raja Jordan, Raja Abdullah II menegaskan Amerika Syarikat (AS) perlu akur dengan pelan tersebut jika mahu keamanan dicapai di rantau itu.
Perkara mengenainya ditegaskan Raja Abdullah II dalam pertemuan dengan Naib Presiden AS Mike Pence di Amman pada Ahad.
"Bagi kami, Baitulmaqdis adalah kunci utama kepada umat Islam dan Kristian seperti yang turut didakwa orang-orang Yahudi.
"Justeru semua pihak perlu menghormati garis sempadan yang dipersetujui pada 1967 dan seterusnya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin," jelas Raja Abdullah II.
"Mahu tidak mahu Baitulmuqaddis adalah kunci kepada keamanan di rantau ini, dan kunci perjuangan umat islam bagi memerangi sebarang penyebab radikalisasi," tambahnya.
Dalam pada itu Pence berkata AS menghormati kenyataan dibuat Jordan sebagai penjaga kota suci itu.
Namun pada masa sama mempertahankan keputusan pengiktirafan yang dibuat Presiden Donal Trump ke atas Baitulmaqdis.
"Amerika Syarikat akan memberikan sokongan terhadap usaha pelan penyelesaian dua negara jika pihak terlibat bersetuju dengan kenyataan diuat Trump," jelasnya.
Selepas pertemuan di Amman, Jordan, Pence dijadual bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai sebahagian lawatan rasminya di Asia Barat.