Peningkatan mendadak kes baharu dijangka di lima negeri di AS

Astro Awani
Jun 23, 2020 08:54 MYT
Menurut Friedan, ini dijangka berlaku jika keadaan semasa berkenaan langkah keselamatan dan kesihatan yang dilonggarkan berterusan. - Reuters
Bekas Pengarah Pusat Kawalan Penyakit di Amerika Syarikat (CDC) menyatakan lima negeri menyaksikan peningkatan mendadak kes baru COVID-19.
Dalam masa yang sama, Tom Frieden yang menjadi pengarah pada 2009 sehingga 2017 juga menyatakan, lima negeri itu ialah Arizona, Alabama, Florida, South Carolina dan Texas berdepan risiko menyaksikan penularan besar dalam masa dua minggu.
Sebelum ini wujud pelbagai kerisauan tindakan beberapa negeri di AS yang membuka kembali ekonomi terlalu pantas akan mengakibatkan gelombang kedua.
Menurut Friedan, ini dijangka berlaku jika keadaan semasa berkenaan langkah keselamatan dan kesihatan yang dilonggarkan berterusan.
“Apa yang akan berlaku di masa depan? Hanya masa yang akan menentukan.
"Namun ini semua boleh diubah jika kita melakukan penjarakan sosial, memakai penutup muka, membasuh tangan, menjejaki kontak dan melakukan saringan.
“Kita mampu menghentikan COVID-19 daripada menular. Namun jika kita tidak berhati-hati, COVID-19 akan kembali. Kita penat duduk di rumah, namun COVID-19 tidak akan berhenti.
“Saya rasa mungkin 'gelombang kedua' tidak tepat. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dengan COVID-19.
"Ia tidak pernah berlaku kepada manusia sebelum ini. Apa yang kita saksikan adalah gelombang, peningkatan, kluster yang berlaku bergantung kepada kontak dan sama ada langkah yang diambil efektif.
"Jika anda lakukan pengesanan kontak dengan baik anda boleh mengelak kes daripada menjadi kluster, daripada menjadi wabak dan daripada wabak menular dan mengakibatkan masyarakat lumpuh,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut risaukan perhimpunan politik termasuk oleh Presiden AS, Donald Trump di Tulsa di mana orang ramai berkumpul di kawasan tertutup tanpa memakai topeng muka.
Sebaliknya Friedan menjelaskan, penularan dijangka kurang berlaku dalam perhimpunan di kawasan luar seperti protes kematian George Floyd di mana orang ramai memakai topeng muka.
Beliau dalam masa yang sama menyatakan ada tanda positif yang vaksin akan dapat dihasilkan pada tahun depan.
Namun tegasnya, penting untuk memastikan pengeluar tidak mengambil jalan pintas dalam pembangunan dan ujian.
Jika ini berlaku, ia mampu mengurangkan keyakinan orang awam ke atas vaksin ini.
#Amerika Syarikat #AS #CDC #Donald Trump #George Floyd #perhimpunan #Pusat Kawalan Penyakit #Tom Frieden
;