Peningkatan kes, Singapura hadkan dua individu untuk beberapa aktiviti sosial
Nickyson Nyambar
Jun 18, 2021 21:48 MYT
Jun 18, 2021 21:48 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk melonggarkan sekatan di Singapura terpaksa dibuat secara berperingkat memandangkan negara itu masih lagi diburu kebimbangan susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 berbanding minggu lalu.
Kebenaran untuk aktiviti sosial seperti makan di luar mulai Isnin depan masih diteruskan, bagaimanapun terpaksa dihadkan kepada dua individu sahaja berbanding lima individu seperti yang dirancang sebelum ini.
Pembukaan ini adalah merupakan pembukaan semula Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat).
Selain kebenaran makan di luar, Singapura juga membenarkan rakyatnya untuk bersenam di gim dan pusat kecergasan tertutup tanpa memakai pelitup muka. Keputusan ini juga tertakluk kepada had kebenaran dua individu sahaja.
Dedah Menteri Kesihatannya, Ong Ye Kung, sebanyak 94 kes jangkitan komuniti dicatatkan untuk tempoh tujuh hari berbanding 41 kes sebelum ini.
Terbaharu, Singapura merekodkan 16 kes baharu COVID-19, yang mana dua daripadanya adalah merupakan kes import.
Peningkatan ini dilihat mendadak berbanding minggu lalu iaitu sejak 10 Jun apabila kes hariannya ketika itu dicatatkan pada empat angka.
Jangkitan-jangkitan sedemikian berpotensi mencetuskan kelompok COVID-19 yang lebih besar sama seperti yang berlaku di 115 Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View, menurut Kementerian Kesihatan Singpapura.
Tambahnya, sistem TraceTogether dan SafeEntry akan digunakan untuk mengukuhkan lagi usaha negara membendung penularan, termasuk kemunculan kelompok jangkitan yang lebih besar.