Peningkatan kes COVID, selesema tambah tekanan ke atas hospital di UK ketika 'krisis NHS'
Bernama
Januari 16, 2023 04:20 MYT
Januari 16, 2023 04:20 MYT
LONDON: Kemudahan penjagaan kesihatan Britain berhadapan tekanan yang semakin teruk berikutan peningkatan jumlah pesakit yang menghidap selesema dan COVID-19 dengan pesakit terpaksa menunggu lama serta kelewatan perkhidmatan ambulans, menurut Agensi Anadolu.
Sejak bermula musim sejuk pada Disember tahun lepas, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain menjadi agenda penting negara dengan kerajaan teruk dikritik kerana "berdiam diri terhadap krisis NHS".
Selain peningkatan kes selesema dan COVID, mogok oleh kakitangan penjagaan kesihatan termasuk jururawat, doktor dan pekerja ambulans meningkatkan beban NHS.
Stephen Powis, pengarah perubatan nasional NHS, menunjukkan kes koronavirus dan selesema yang semakin meningkat di seluruh Britain sebagai "pendemik kembar".
"Malangnya, angka selesema terbaharu ini membimbangkan, dengan kes meningkat tujuh kali ganda dalam tempoh sebulan sahaja dan kesan berterusan COVID-19 menjejaskan teruk petugas yang 50 peratus tidak hadir bertugas menjelang akhir November," katanya pada 30 Dis.
Kenyataannya itu dibuat selepas angka NHS menunjukkan jumlah kes selesema di hospital UK meningkat tujuh kali ganda dalam sebulan dengan 3,746 kes sehari dirawat di hospital akibat selesema pada minggu terakhir Disember, meningkat daripada 520 sebulan sebelumnya.
Sehari selepas itu, media mendedahkan bahawa pesakit di Scotland dirawat di luar hospital akibat koronavirus dan selesema yang diburukan lagi apabila ramai kakitangan jatuh sakit.
Pada 6 Jan, NHS mengeluarkan angka lain yang menunjukkan peningkatan kes selesema mencetuskan ancaman kepada sistem kesihatan. Ia berkata kes selesema meningkat 47 peratus sepanjang minggu pertama tahun itu.
"Minggu lalu, terdapat purata 5,441 orang sehari di hospital dengan selesema berbanding 3,746 minggu sebelumnya - meningkat hampir 50 peratus dalam tujuh hari," katanya.
Dengan isu itu bertukar menjadi "krisis," hospital dan ambulans di seluruh UK mula mengisytiharkan "insiden kritikal" sejak awal Disember dengan orang ramai diminta tidak menghubungi nombor kecemasan 999 kecuali benar-benar mengancam nyawa.
Pada 2 Jan, Matthew Taylor, ketua Konfederasi NHS, turut menyatakan bahawa perkhidmatan kesihatan berhadapan "tekanan yang tidak dapat ditanggung lagi," dan sehari selepas amaran ini, media tempatan melaporkan seorang wanita di UK meninggal dunia selepas lebih 16 jam menunggu ambulans.
Selain beberapa siri tindakan mogok oleh pelbagai kumpulan termasuk kakitangan kereta api dan pekerja pos, beribu-ribu pekerja penjagaan kesihatan turut mengadakan beberapa siri mogok berhubung pertikaian gaji dan syarat kerja.
"Menteri enggan berbincang. Kakitangan kejururawatan tiada pilihan," kata Royal College of Nursing yang mengumumkan mogok oleh jururawat di England pada 18-19 Jan.
Selain jururawat, kira-kira 25,000 pekerja ambulans dijangka melancarkan mogok pada 23 Jan disebabkan pertikaian gaji yang berterusan.
-- BERNAMA