Penindasan Uighur: AS gesa boikot Sukan Olimpik 2022 China
Astro Awani
Mei 19, 2021 10:57 MYT
Mei 19, 2021 10:57 MYT
SPEAKER Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi menggesa diadakan boikot diplomatik terhadap Sukan Olimpik musim sejuk di Beijing pada 2022.
Tindakan diambil sebagai mengkritik China susulan pelanggaran hak asasi manusia berkaitan isu etnik di Uighur.
"Kita tidak boleh teruskan Olimpik seolah-olah tidak ada apa yang salah di China," katanya di Washington pada Selasa.
Beliau turut menyifatkan mana-mana pemimpin yang hadir menyokong sukan itu sebagai hilang 'kewibawaan moral'.
"Jika pemimpin-pemimpin negara pergi ke China ketika genosid terus terjadi ketika ini, di mana kewibawaan moral anda untuk bercakap mengenai hak asasi manusia?
"Adakah kita akan hormati kerajaan China yang mengamalkan genosid? Jagalah maruah atlet anda di negara sendiri.
"Mari kita adakan boikot diplomatik jika Olimpik ini terus diadakan. Kita tidak boleh berdiam mengenai isu ini," katanya.
Penggubal undang-undang di AS banyak menyuarakan hasrat memboikot Sukan Olimpik yang dijadual pada Februari dan mengecam mana-mana syarikat negara itu yang berdiam diri mengenai isu berkenaan.
Sebelum ini, Jabatan Negara AS mengklasifikasikan isu di Uighur itu sebagai jenayah pembunuhan kaum atau genosid.
Berdasarkan laporan panel bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018, sekurang-kurangnya 1 juta orang Muslim Uighur ditahan di kem di wilayah Xinjiang, China.
Namun, Beijing menggambarkan ia sebagai pusat latihan vokasional untuk membasmi keganasan dan menolak tuduhan penyalahgunaan dan pembunuhan beramai-ramai.
#Olimpik Beijing 2022
#boikot
#Nancy Pelosi
#Uighur
#hak asasi manusia
#Amerika Syarikat
#pelanggaran hak asasi
#Akta Jenayah Kebencian
#genosid
#undang-undang
#Olimpik
#jenayah
#Beijing
#China
#PBB
#sukan