Pengusaha restoran Paris dakwa rugi akibat Sukan Olimpik
Bernama
Julai 20, 2024 19:30 MYT
Julai 20, 2024 19:30 MYT
PARIS: Pengusaha restoran di Paris merungut mengenai penurunan pengunjung berhubung penganjuran Sukan Olimpik 2024, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Persatuan katering dan perdagangan menerusi kenyataan media bersama yang dilaporkan oleh beberapa media Perancis pada Jumaat memaklumkan langkah keselamatan yang ketat telah memberi kesan buruk kepada perniagaan mereka.
Restoran di dataran tengah Trocadero sebagai contoh, satu daripada tempat utama Olimpik mengalami sekatan akses hingga jumlah pengunjung ke kawasan itu dilaporkan telah menurun sebanyak 70 peratus.
Selain sekatan Olimpik, cuaca buruk pada awal musim, pengurangan pelancong akibat inflasi dan fakta bahawa pelancong secara umum cenderung mengelakkan Paris pada kemuncak musim panas turut menyumbang kepada masalah ini.
Sukan Olimpik dijadualkan bermula minggu depan.
Menurut kenyataan itu, keselamatan pengunjung adalah keutamaan. Bagaimanapun, pihak berkuasa sepatutnya menyediakan lebih banyak maklumat mengenai sekatan supaya pengusaha katering dapat membuat persiapan yang lebih baik.
Mereka menuntut pampasan segera atas kesulitan yang mereka alami.
-- BERNAMA