Pengusaha minyak sawit dipercayai dalang pembunuhan dua wartawan

Nailah Huda
November 12, 2019 08:35 MYT
Agus pada sidang media 8 November di Medan, Sumatera Utara, Indonesia. -Foto Reuters
SEORANG pengusaha minyak sawit ditahan polis Sumatera Utara kerana dipercayai mengarahkan pembunuhan dua wartawan, Maraden Sianipar dan Maratua P. Siregar.
Menurut polis, mereka terlibat dalam pertikaian tanah di antara sebuah syarikat minyak sawit milik suspek dan penduduk setempat.
Kumpulan aktivis pada Ahad mengutuk industri minyak sawit tempatan yang dikatakan terbina atas pertumpahan darah dan kesengsaraan penduduk.
“Ini mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa pelanggaran hak asasi manusia dalam syarikat minyak sawit berleluasa,” kata Dana Prima Tarigan yang mengetuai Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI).
Kedua-dua mangsa ditemui mati dengan kesan tikaman di seluruh badan di dalam parit berdekatan ladang kelapa sawit di Labuhan Batu yang dimiliki syarikat PT Sei Alih Berombang atau lebih dikenali sebagai Amelia.
Polis pada Jumaat menyatakan bahawa ketua syarikat minyak sawit Amelia yang hanya dikenali sebagai "Harry" telah ditahan kerana disyaki mengarahkan empat suspek lain yang dikenali sebagai DS, JH, VS, dan SH untuk membunuh wartawan tersebut.
Menurut media tempatan, "Harry" dipercayai merupakan ahli perniagaan Wibharry Padmoasmolo.
Polis mendakwa suspek telah membayar sekitar 42 juta rupiah (RM12,000) untuk membunuh dua wartawan itu.
Pembunuhan itu berlaku pada 29 Oktober apabila wartawan Maraden dan Maratua turun ke ladang sawit untuk bertemu dengan kesemua suspek, kecuali "Harry" dan JH.
Kata ketua polis Sumatera Utara Agus Adrianto, keempat-empat suspek masing-masing membawa senjata kelewang yang berbentuk seperti pedang.
Wartawan tersebut dipercayai telah bekerjasama dengan peladang setempat untuk mendapatkan balik kawalan ke atas tanaman sawit di situ.
“Motif pembunuhan membabitkan isu pertikaian tanah,” kata Agus.
Maraden dan Maratua dahulu merupakan wartawan untuk portal berita tempatan sebelum berkhidmat sebagai wartawan bebas pada 2017.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas kematian peguam alam sekitar bersama WALHI yang ditemukan mati di Sumatera Utara.
#Amelia #Indonesia #kelapa sawit #minyak sawit #sumatera utara #wartawan dibunuh #Wibharry Padmoasmolo
;