Pengunjung pantai terkejut tengok sengkayan besar
Agensi
Ogos 17, 2022 13:19 MYT
Ogos 17, 2022 13:19 MYT
PENGUNJUNG di sekitar pantai Destin, Florida di Amerika Syarikat (AS) dikejutkan dengan 'kehadiran' belalai air atau sengkayan bersaiz besar yang melanda kawasan itu dalam kejadian pada Selasa lalu.
Video yang dirakam oleh salah seorang pengunjung dikenali sebagai Boo Freeman memaparkan kejadian yang disifatkan menakjubkan itu berlaku sekitar 7 pagi waktu tempatan.
Berdasarkan rakaman tersebut, belalai air itu berputar ke udara dan membentuk kabus tebal di kawasan lautan, yang jelas kelihatan berwarna kelabu.
Salah seorang jurucakap AccuWeather AS, Jesse Ferrell mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan belalai air itu berkemungkinan terbentuk daripada ribut petir 'supercell'.
Susulan kejadian itu, Jabatan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran khas, menggesa agar para pelayar dan perenang tidak berada di dalam kawasan air.
Difahamkan, fenomena belalai air tersebut adalah yang kelima dilapor berlaku di kawasan Panhandle Florida.
Sebelum ini, kejadian belalai air turut terbentuk di Maryland yang mengakibatkan kerosakan.
Sementara, kejadian sama turut dilapor berlaku di Pulau Smith, Teluk Chesapeake pada 5 Ogos lalu, mengakibatkan beberapa rumah roboh dan seorang individu cedera.