Pengunduran tentera dari Afghanistan: Ketua Pembangkang UK kritik tindakan kerajaan

Astro Awani
September 6, 2021 07:53 MYT
Keir Starmer ketika berucap di dalam Parlimen UK mengulas kenyataan dibuat Boris Johnson berhubung keadaan di Afghanistan, di House of Commons, London, 6 Sept, 2021. (Foto AP)
KETUA pembangkang Britain, Keir Starmer pada Isnin mengkritik cara pengunduran tentera negara itu dari Afghanistan.
Berucap di Parlimen London, Starmer mendakwa tindakan kerajaan itu menyebabkan sebahagian besar warga tempatan yang menabur bakti kepada Britain ditinggalkan.
Ia disifatkan beliau sebagai "leka dan salah".
Bagaimanapun, Perdana Menteri Boris Johnson mempertahankan keputusan dan tindakan kerajaan berhubung pengunduran tentera.
"Kerajaan tidak tahu pun berapa banyak warga UK dan rakyat Afghanistan yang layak di bawah skim Dasar Penempatan Semula dan Bantuan Afghanistan (ARAP) yang tertinggal, ia merupakan suatu yang memalukan negara.
"Walaupun mereka dapat mengenal pasti siapa yang mereka tinggalkan, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan semua orang.
"Lapangan terbang Kabul tetap ditutup untuk penerbangan antarabangsa. Jalan selamat belum dibuat di negara jiran Afghanistan.
"Dan apa sahaja yang dikatakan perdana menteri hari ini, tidak ada perjanjian antarabangsa mengenai penempatan semula pelarian Afghanistan.
"Kita mempunyai perdana menteri yang tidak mampu melakukan kepimpinan antarabangsa ketika kita sangat memerlukannya.
"Serangan mengerikan dari ISIS-K menunjukkan ancaman keselamatan baru.
"Kerajaan mesti bertindak pantas mengkoordinasi rakan antarabangsa bagi memastikan kejatuhan kerajaan Afghanistan tidak diisi oleh pengganas," kata Starmer.
Sementara itu, Johnson berkata, setakat ini, 311 layak ke Britain di bawah ARAP yang masih ada di negara itu.
"Ya sudah tentu. Tuan Yang di-Pertua, kita akan melakukan apa sahaja untuk membantu mereka yang ingin keluar dari Afghanistan dengan selamat, dan kita akan melakukannya.
"Itulah sebabnya kami akan terus bersama rakan-rakan antarabangsa kami untuk menerapkan apa sahaja tekanan yang kami boleh lakukan ke atas ekonomi, diplomatik terhadap Taliban.
"Ia bagi memastikan mereka mematuhinya, Tuan Yang di-Pertua, kerana mereka telah mengatakan bahawa mereka akan melakukannya," kata Johnson.
Penerbangan terakhir membawa pasukan Britain keluar dari Afghanistan adalah pada hujung Ogos.
#Afghanistan #Keir Starmer #Boris Johnson #Britain
;