Pengunduran Biden beri kesan perundangan kepada kempen Demokrat
Astro Awani
Julai 21, 2024 07:45 MYT
Julai 21, 2024 07:45 MYT
WASHINGTON: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Mike Johnson menzahirkan kebimbangan mengenai isu perundangan, berhubung pengganti Presiden Joe Biden untuk Pilihan Raya Presiden.
Johnson memaklumkan undang-undang negeri mengawal selia pilihan raya dan tindakan menukar calon mungkin akan berdepan impak dari segi perundangan.
"Pilihan raya ini dikendalikan di peringkat negeri. Setiap negeri mempunyai sistemnya sendiri. Dalam beberapa kes, tidak mungkin untuk sekadar menukar calon yang telah dipilih melalui proses demokrasi yang berlangsung.
"Sejumlah 14 juta ahli Demokrat telah mengundi untuk menjadikan Joe Biden sebagai calon. Jadi, ia adalah salah dan saya rasa tidak sah mengikut peraturan beberapa negeri ini untuk sekumpulan kecil orang masuk ke bilik belakang dan menukarnya hanya kerana mereka tidak lagi menyukai calon tersebut.
"Itu bukan caranya sepatutnya berfungsi. Jadi saya rasa mereka akan menghadapi beberapa halangan undang-undang sekurang-kurangnya di beberapa bidang kuasa ini," katanya.
Johnson juga akui, Donald Trump berpotensi untuk menang besar susulan isu perundangan Demokrat ini.
Beliau juga skeptikal dengan kemampuan Naib Presiden Kamala Harris sebagai calon.