Pengundi mahu sistem demokrasi di Thailand dikembalikan - Penganalisis
Sahlizah Mohamed
Mac 24, 2019 14:20 MYT
Mac 24, 2019 14:20 MYT
Pilihan raya umum di Thailand pada kali ini memberi peluang kepada masyarakat negara itu untuk mengamalkan sistem demokrasi yang sebenar selepas mereka gagal melakukannya lima tahun lalu.
Perkara ini tentunya menggembirakan para pengundi di negara gajah putih itu yang sebelum ini berada di bawah pemerintahan junta ketenteraan.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, rakyat Thailand telah menunggu lama supaya proses demokrasi dapat dikembalikan.
"Mereka mahu pemerintahan tentera diturunkan daripada kekuasaan dan memberi ruang untuk proses demokrasi mengambil alih terutamanya dengan melantik individu yang bukan dalam kalangan tentera.
"Bagi saya, harapan masyarakat di Thailand itu sangat tinggi supaya proses demokrasi itu dikembalikan. Jadi mungkin di belakang tabir itu beberapa tindakan telah dibuat oleh kerajaan junta sebelum ini bagi memastikan mereka akan tetap terpilih dan membentuk kerajaan selepas ini," katanya sewaktu Buletin Khas AWANI: Pilihan Raya Umum Thailand hari ini.
Lebih 51 juta pengundi termasuk 7.33 juta pemilih pertama kali dijangka membuang undi hujung minggu ini untuk memilih 500 wakil ke Parlimen dengan 350 dipilih secara langsung menerusi pilihan raya kawasan, sementara baki 150 akan dipilih melalui senarai parti.
Empat calon yang bertanding dalam pilihan raya umum kali ini ialah Prayut Chan-O-Cha (Palang Pracharat), Abhisit Vejjajiva (Demokrat), Khunying Sudarat Keyuraphan (Pheu Thai) serta Thanatorn Juangroongruangkit (Future Forward).
Dalam pada itu, mengulas mengenai sama ada golongan muda mampu mengubah landskap politik di Thailand, Ahmad Martadha berkata berdasarkan sejarah di negara itu, parti dalam kalangan orang muda jarang diketengahkan.
"Memang kita dapati parti-parti dalam kalangan orang muda ini dan ketokohan pemimpin-pemimpin muda jarang diketengahkan, namun kita tidak nafikan bahawa peranan orang muda pada hari ini menjadi semakin penting.
"Kita dapati bahawa di Thailand, mereka mempunyai syarat-syarat tertentu sebelum dipilih menjadi wakil rakyat. Pengalaman itu sangat penting dan ini menunjukkan bahawa kebolehan seseorang itu untuk menjadi calon juga bergantung kepada pengalaman mereka berada di dalam parti itu sendiri," katanya.
Bagaimanapun, beliau secara keseluruhannya berpendapat ia tidak memberi impak besar kepada kerajaan Thailand.
Kerajaan Thailand sendiri dalam landskap politik mempunyai pengaruh yang kuat antara parti Demokrat dan junta tentera.
Kedua-dua parti itu adalah parti yang dominan dan silih berganti dalam menentukan dan memberikan calon untuk menjadi perdana menteri.