Pengorbanan Agung jadi inspirasi dunia
Hilal Azmi
September 30, 2018 12:00 MYT
September 30, 2018 12:00 MYT
Angka korban akibat gempa bumi dan tsunami di bandar Palu kini melebihi 400 orang.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa diteruskan selepas lapangan terbang kini mula dibuka untuk tujuan menyelamat dan menghantar barangan bantuan.
Namun, ada satu nama yang menjadi bualan dan ingatan di seluruh Nusantara, Anthonius Gunawan Agung.
Anak muda berusia 21 tahun telah terkorban ketika gegaran melanda yang mengakibatkan sebahagian menara kawalan trafik udara runtuh.
Ketika kejadian, Agung yang bertugas sebagai pegawai kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Al Jufri, Palu, baru sahaja menyelesaikan tugasnya melepaskan pesawat Batik Air dengan nombor penerbangan ID 6231.
Terdahulu, Agung dikatakan berkeras untuk terus berada di menara kawalan trafik setinggi empat tingkat bagi memberi panduan kepada juruterbang ke landasan yang betul dan berlepas dengan selamat biarpun gegaran sedang berlaku.
Menurut juruterbang menerusi akaun Instagram @icoze_ricochet , tindakan Agung dianggap sebagai hero yang sanggup berkorban menyelamatkan ratusan nyawa.
"Batik 6231 runway 33 clear for take off," itu ayat terakhir Agung kepada juruterbang sebelum terjun keluar yang menyebabkannya patah kaki dan bahu.
"Saya membalasnya dengan mengucapkan terima kasih sehingga pesawat boleh berlepas dengan selamat," tulisnya.
Bagi netizen, tindakan itu membuktikan Agung melakukan kerjanya dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.
#Anthonius Gunawan Agung
#ATC
#gempa bumi
#Indonesia
#Lapangan Terbang Al Jufri
#maut
#Palu
#Sulawesi
#tsunami