Penglibatan wanita dalam dasar alam sekitar masih rendah - UN Women
Bernama
Mac 9, 2022 12:20 MYT
Mac 9, 2022 12:20 MYT
BANGKOK: Wanita masih kurang terlibat dalam hal membuat keputusan untuk alam sekitar, menurut United Nations Women dan menyifatkan penyertaan golongan itu penting untuk dasar serta amalan pengurusan sumber asli yang lebih berkesan.
Laporan "Women and the Environment: An Asia-Pacific Snapshot", yang dilancarkan pada Rabu menyatakan, dianggarkan 18 peratus negara di Asia dan Pasifik mempunyai menteri wanita untuk alam sekitar, manakala hanya enam peratus mempunyai menteri wanita untuk perikanan.
Ini telah mengehadkan pengaruh wanita terhadap dalam membuat keputusan termasuk strategi pemuliharaan.
"Menggalakkan penyertaan wanita dalam membuat keputusan alam sekitar dalam negara boleh memberi kesan kepada dasar dan amalan pengurusan sumber asli," menurut laporan itu.
Selain itu, penyertaan wanita dalam perbincangan global juga penting tetapi penglibatan mereka masih sangat rendah.
Sementara itu, Setiausaha Agung Rendah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) Armida Salsiah Alisjahbana berkata potensi wanita masih belum diterokai dan kurang digunakan di rantau ini.
"Wanita juga kurang diwakili di Parlimen dan sebagai menteri serta penggubal dasar berkaitan alam sekitar," katanya.
Pegawai Penjaga UN Women Asia dan Pasifik, Sarah Knibbs berkata suara wanita adalah kunci untuk memastikan pengalaman, keperluan dan kebimbangan mereka dapat diketengahkan dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber alam sekitar.
"Penyertaan mereka dalam badan kerajaan berkaitan alam sekitar, sektor swasta, serta kumpulan pengurusan sumber asli perlu digalakkan, termasuk di peringkat akar umbi," katanya.
-- BERNAMA