Pengimport minyak India jangka gangguan bekalan 'membimbangkan' jika larangan Indonesia berterusan
Bernama
Mei 14, 2022 14:18 MYT
Mei 14, 2022 14:18 MYT
NEW DELHI: Pengimport minyak sayuran India menjangka gangguan bekalan yang membimbangkan jika pengeluar utama Indonesia mengekalkan larangannya terhadap eksport minyak sawit, untuk memenuhi permintaan domestik.
Masalah menjadi lebih serius bagi India, pengimport minyak makan terbesar dunia, berikutan perang Ukraine-Rusia yang mengganggu bekalan minyak bunga matahari.
Pada bulan lepas, Indonesia mengenakan larangan eksport minyak sawit untuk menurunkan harga minyak masak tempatan, menjadikan India lebih bergantung kepada Malaysia, pengeluar kedua terbesar.
Antara November dan April, import minyak sawit India dari Malaysia sebanyak 1.78 juta tan, diikuti 1.15 juta tan dari Indonesia, menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai.
Menurut kumpulan perdagangan itu, larangan Indonesia itu dijangka ditarik balik sebelum akhir Mei, tetapi situasi akan menjadi membimbangkan jika Indonesia terus melarang eksport produk minyak sawit berikutan bekalan yang mencukupi dari sumber lain tidak boleh didapati.
India berusaha untuk mengimbangi kekurangan daripada larangan Indonesia itu dan krisis Ukraine dengan membeli minyak makan lain.
Permintaan terhadap minyak bunga matahari di India merosot berikutan harga global yang tinggi dan ketersediaan yang berkurangan, menurut SEA, sambil menambah tiada penghantaran dari Ukraine sejak 27 Mac.
Jumlah import minyak makan India merosot 14.4 peratus kepada 900,085 tan pada April berbanding jumlah pada Mac.
Import minyak sawit pada April berjumlah 572,508 tan, menyumbang 64 peratus daripada keseluruhan pembelian minyak sayuran yang boleh dimakan.
Import minyak sawit India dari Malaysia pada bulan lepas berjumlah 313,859 tan, terdiri daripada 277,024 tan minyak sawit mentah (MSM), 28,835 tan olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan 8,000 tan minyak isirung sawit mentah, menurut persatuan itu.
-- BERNAMA