Pengikut taksub mengamuk, individu dianggap 'malaikat' bersalah merogol
Reuters
Ogos 26, 2017 19:40 MYT
Ogos 26, 2017 19:40 MYT
Tunjuk perasaan besar-besaran di Haryana, India, pada hari Jumaat, telah mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 200 orang.
Bantahan itu dilakukan ekoran mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas Gurmeet Ram Rahim Singh, yang juga seorang mahaguru kumpulan kebajikan sosial dan kerohanian yang mempunyai ramai pengikut, selepas mendapati dia bersalah di atas tuduhan merogol dua wanita.
Menurut laporan Reuters, ribuan penyokongnya berpendapat Gurmeet yang disifatkan mereka sebagai 'malaikat' tidak bersalah dalam kes yang berlaku di Kumpulan Dera Sacha Sauda, di Sirsa, Haryana.
Penyokong-penyokongnya menyerang stesen keretapi, stesen minyak serta kenderaan milik stesen televisyen di banda-bandar di Punjab dan Haryana.
"Kami cuba menghalang perlakuan ganas mereka, tetapi penunjuk perasaan tidak dapat dikawal.
"Semua yang cedera sedang dirawat di hospital kerajaan,” kata Ketua Menteri Haryana, Manohar Lal kepada Reuters.
Berpuluh-puluh kereta dibakar di bandar Panchkula sementara satu mayat berlumuran berdarah terbaring di tengah jalan raya.
Kira-kira 500 askar tentera telah dikerahkan untuk memulihkan ketenteraman.
Rakaman televisyen menunjukkan situasi panik di luar hospital di Panchkula, dengan kakitangan perubatan bergegas memindahkan pesakit yang tercedera dari ambulans ke dalam wad hospital.
Penyokong-penyokong Gurmeet Ram kebanyakannya terdiri daripada warga emas dari kawasan pedalaman, dan sering mengikuti program kebajikan sosialnya seperti kem perubatan dan bantuan bencana.
Mahkamah tersebut telah menetapkan Gurmeet Ram dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, yang akan bermula Isnin ini.
Gurmeet Ram menafikan tuduhan itu dan telah menyeru para pengikutnya melalui mesej video supaya bertenang.
A.K. Dhir, salah seorang peguamnya, berkata anak guamnya tidak bersalah dan pengikutnya mempunyai hak untuk menyatakan kemarahan mereka.
Protes turut dilakukan di Punjab, New Delhi dan Rajasthan.
Sehingga kini hampir 1,000 anggota kumpulan Sacha Saudanya telah ditahan.
Tunjuk perasaan itu turut menyebabkan jadual perjalanan lebih 300 buah keretapi menghubungkan negeri Punjab dan Haryana, dibatalkan.
Penasihat Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata pegawai pusat dan negeri telah diarahkan untuk bekerja tanpa rehat demi mengembalikan keamanan.
"Situasi keganasan ini sangat menyedihkan. Saya mengutuk keganasan dan menggesa semua orang untuk mengekalkan keamanan," kata Narendra Modi di Twitter.